PUTRAJAYA: Sejumlah 2.4 bilion panggilan mencurigakan disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sejak 2018 sehingga kini yang dikesan mempunyai unsur penipuan (scam).
Trend scam di negara ini dilihat semakin meningkat melibatkan warga Malaysia dengan taktik scammer yang semakin licik dalam membuat perancangan bagi memerangkap mangsa menerusi scam panggilan telefon, love scam dan phishing termasuk scam kewangan juga semakin meluas.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, setiap insiden scam yang berlaku melibatkan modus operandi berbeza.
Namun motif utama scammer adalah demi mendapatkan keuntungan yang akhirnya mangsa mengalami kerugian wang ringgit mencecah ratusan ribu ringgit sepanjang tahun.
Bagaimanapun, jelas beliau, isu-isu seperti ini berada di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM), pihak SKMM membantu kedua-dua badan ini dengan bantuan teknikal jika diminta bagi tujuan penyiasatan.
Ekoran jenayah ini, katanya, SKMM turut membuat sekatan sebanyak 581 juta khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mencurigakan sejak 2021.
“Sebanyak 237,999 nombor, termasuk nombor mudah alih dan tetap yang menghantar SMS mencurigakan ditamatkan perkhidmatan sejak 2021.
“Sebanyak 3,847 laman web phishing turut disekat sejak 2020 selain 29 laman web disekat (berdasarkan permintaan daripada PDRM atas kesalahan bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan),” katanya di sini semalam.
Laporan Utusan Malaysia pada 29 Mei lalu mendedahkan, sebanyak 72,732 kes jenayah dalam talian dengan RM2.9 bilion kerugian direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dalam tempoh lima tahun sejak 2018 sehingga 30 April lalu.
Kesalahan terbanyak dilaporkan adalah penipuan belian dalam talian dengan 35,448 kes dengan kerugian RM 369,466 juta diikuti 24,295 aduan lagi membabitkan pinjaman tidak wujud dengan kerugian RM245.559 juta.
Statistik JSJK juga merekodkan sebanyak 11,406 kes penipuan pelaburan dengan kerugian RM1 bilion selain jenayah love scam (7,402 kes dengan kerugian RM374.171 juta); phone scam (13,037 kes dengan kerugian RM 770.045 juta),
Bagi kes Business Email Compromise (BEC) pula, sebanyak 233 kes direkodkan dengan kerugian RM139.464 juta dan tipu SMS dengan 952 kes melibatkan kerugian RM 13.861 juta
Mengikut rekod, phishing adalah penipuan bagi mendapatkan maklumat peribadi seperti perbankan orang lain melalui laman web palsu yang menyerupai laman web asal.
Kebanyakan mangsa akan menerima SMS atau e-mel bersama pautan (link) ke laman web palsu bank atau syarikat. Helah yang digunakan oleh penipu atau scammer ini adalah bagi menakutkan mangsa dan menggertak mereka ataupun membuat mereka teruja.
Nie Ching berkata, sebanyak 6,537 akaun juga adalah di bawah pemerhatian perkhidmatan platform (peniruan, akaun palsu dan laman web untuk tujuan penipuan).
“Pada tahun ini sahaja iatu dalam tempoh 2 Mei hingga 15 Ogos lalu, sebanyak 17 juta SMS yang mengandungi pautan telah disekat,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 2,400 insiden berkaitan penipuan dalam talian (fraud) dilaporkan yang diterima Pusat Tindakbalas Insiden Siber Cyber999 dari tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, berbanding 4,741 insiden dilaporkan sepanjang tahun lepas.
Katanya, berdasarkan statistik yang dikongsi JSJK, PDRM, sebanyak RM527 juta jumlah kerugian yang dicatat sejak Januari hingga Julai tahun ini dengan jumlah kes yang dilaporkan sebanyak 14,185 meliputi tujuh jenis mudus operandi jenayah scam.
Daripada jumlah itu, ia meliputi 6,731 kes penipuan pembelian dalam talian dengan nilai kerugian sebanyak RM128 juta; 2,464 kes penipuan pelaburan (RM197 juta); 2,288 kes pinjaman tidak wujud (RM22 juta) dan 1,709 kes scam panggilan telefon (RM101 juta).
Selain itu ialah sebanyak 556 kes love scam melibatkan kerugian bernilai RM28 juta; 27 kes Business Email Compromise (BEC) (RM39 juta) dan 180 kes penipuan SMS (RM1.7 juta).
Menurut Nie Ching, bagi meningkatkan kesedaran dan literasi digital terutama dalam kalangan warga emas khususnya berkaitan scam, pihak CyberSecurity Malaysia menganjurkan satu siri penjelajahan, Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 diilhamkan Gabungan Bertindak Anti-Scam (GBAS) terdiri daripada pelbagai pihak.
“Memandangkan jenayah siber termasuk scam tidak mengenal sesiapa dan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, program ini menyasarkan semua kumpulan masyarakat sebagai pengguna Internet,” katanya.
Siri penjelajahan ini bermula pada 18 Februari lalu di Selangor/Kuala Lumpur dikuti Perlis (20 Mei 2023) serta Sarawak (2 dan 3 September 2023).
Program ini akan turut diadakan di Sabah (7 dan 8 Oktober 2023), Johor (28 Oktober 2023), Kelantan (November 2023) dan dijangka berakhir di Putrajaya hujung tahun nanti.
SKMM juga mengambil beberapa langkah proaktif termasuklah menjalinkan kerjasama dengan pihak penyedia platform media sosial bagi memastikan mereka mengambil langkah bagi melindungi keselamatan pengguna dari jenayah penipuan, berdasarkan terma perkhidmatan dan garis panduan komuniti yang ditetapkan.
Ini termasuk menjalankan program kesedaran secara berterusan melalui pelbagai platform termasuk portal Sebenarnya.my, program Klik dengan Bijak serta hebahan melalui SMS, media sosial, siaran televisyen dan radio dengan kerjasama agensi-agensi penguatkuasaan dan syarikat-syarikat telekomunikasi.
Selain itu ialah, garis panduan sedia ada ditambah baik berhubung prosedur pemantauan dan peraturan sekatan atas panggilan telefon dan SMS yang meragukan. – UTUSAN










