Shake pulang ke Malaysia, konsert ubati rindu - Utusan Malaysia

Shake pulang ke Malaysia, konsert ubati rindu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bakal menggegarkan Zepp Kuala Lumpur pada 16 Disember, Konsert Dato’ Shake Zepp KL bakal menjadi medan penceritaan perjalanan dan kronologi karier muzik yang sudah dibukukan penyanyi legenda tersebut.

Pada konsert yang dibawakan InTour Live Events dengan kerjasama iMe Entertainment Group, Shake akan membuat persembahan dalam beberapa repertoir bahasa iaitu Perancis, Inggeris dan Melayu.

Dalam satu kenyataan, Shake yang kini menetap di Paris, Perancis berkata, dia tidak sabar pulang ke Malaysia untuk membalas rindu peminat di tanah air yang dirancang sejak 2020.

“Janji pasti akan ditepati untuk peminat yang masih sayangkan saya. Pada 2020, saya merancang untuk melakukan jelajah besar ke seluruh Malaysia dan Asia. Malangnya pandemik merosakkan rancangan semua orang termasuk saya!

“Kami penghibur memutuskan untuk bergerak ke hadapan dengan pertolongan dan kasih sayang Tuhan serta orang ramai. Nantikan untuk berjumpa anda tidak lama lagi Zepp KL.

“Saya akan kembali ke Malaysia dalam Konsert Dato’Shake Zepp KL, 16 Disember 2023 ini. Jumpa anda semua nanti! Tidak sabar untuk membuat persembahan di Zepp KL kerana banyak ulasan yang bagus tentang Zepp KL sebagai salah satu pentas terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi bertaraf legenda itu akan membawakan perjalanan muzikal kerjayanya sejak 1976 hinggalah 2023 dengan menyanyikan lagu-lagu asalnya dalam tiga iaitu bahasa Perancis, Inggeris dan Melayu.

Konsert Dato ’Shake Zepp KL yang berlangsung pada 16 Disember 2023 akan menyaksikan penyanyi antarabangsa ini menghiburkan penggemar untuk tempoh 90 minit bermula pukul 8.30 malam. Harga konsert tiket bermula dari harga RM358 ke atas.

Konsert tersebut dijangka menjadi salah satu konsert penutup terbaik tahun ini yang pernah disaksikan peminat kerana Dato’ Shake merupakan penghibur ikonik yang mesti dijadikan rujukan pemuzik generasi masa kini.

Sementara itu, Wakil penganjur daripada InTour Live Events, Bonor Seen berkata, konsert Shake membawa peminat mengembara ke masa silam melalui karya penyanyi itu sejak era 1970-an.

“Shake adalah artis unik. Beliau ada bakat yang tidak dapat dinafikan. Lebih penting lagi, beliau serba boleh.

“Tidak dinafikan Shake adalah lelaki berbakat semula jadi yang menyanyi dengan baik dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Perancis.

“Peminat akan menikmati nostalgia dunia lama melalui lagu Melayu, pop dan rock dunia baharu dalam tiga bahasa berbeza,” katanya.

Tambah Bonor, dia berharap konsert tersebut akan mengubat kerinduan peminat terhadap sang legenda kesayangan ramai.

“Malah, peminat akan menyaksikan persembahan berkualiti oleh pemuzik Paris yang hebat,” katanya.

Antara lagu popular Shake adalah Anugerah Dari Kegagalan, Lina, Kau Bunga Ku dan You Know I Love You (tu sais je t’aime)
Penyanyi tersebut berhijrah ke Hollywood, California, Amerika Syarikat (AS) pada 1988 hingga 2011.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN