BALING: Pemasangan sistem amaran awal (EWS) bencana di kaki Gunung Inas perlu disegerakan berikutan kebanyakan penduduk masih trauma dengan kejadian banjir puing pada 4 Julai tahun lalu.
Ketua Kampung Iboi, Nor Mohamad Che Hussain berkata, kejadian banjir puing bukan sahaja memusnahkan harta benda, namun ia turut memberi kesan kepada emosi penduduk yang ketakutan setiap kali hujan.
“Setiap kali musim hujan di kawasan ini, igauan penduduk kembali berlegar mengenangkan kejadian lebih setahun lalu yang turut mengorbankan tiga nyawa penduduk.
“Kami berdoa agar hujan kali ini tidak membawa musibah sama seperti kejadian lalu kerana masih ada penduduk yang trauma sampai ke hari ini.
“Oleh itu mungkin sistem amaran awal yang sudah dipasang di kawasan peranginan berdekatan Gunung Jerai boleh diperluas di tempat kami pula,” katanya di sini semalam.
Jumaat lalu, seramai 102 mangsa daripada 33 keluarga di Kampung Iboi dan Kampung Padang Empang dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan kediaman mereka dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat berterusan.
Sementara itu Rahmah Din, 58, berkata, banjir kilat yang berlaku baru-baru ini memberi kesan trauma kepadanya apabila tebing Sungai Kupang berhampiran rumahnnya di Lata Celak terhakis.
“Kejadian itu membuatkan saya menjadi trauma semula, memang menakutkan apabila melihat tebing sungai ini terhakis, hanya saya dan anak-anak ada rumah ini,” katanya. – UTUSAN