KUALA LUMPUR: “Saya masih aktif dalam politik, cuma tidak bikin kecoh.”
Demikian kata bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik mengenai penglibatannya dalam arena politik meskipun dilihat kurang tampil dalam polemik kepimpinan negeri sejak kebelakangan ini.
Beliau bagaimanapun menafikan desas-desus yang mengaitkan dirinya sebagai calon Menteri Besar Johor mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Katanya, perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam kepimpinan PH Johor sekali gus menepis spekulasi politik yang mula berlegar dalam media sosial sejak kebelakangan ini.
“Cerita itu tidak betul. Dalam PH Johor kita tak pernah bincang pun mengenai perkara itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Maszlee enggan mengulas lanjut mengenai figura yang sesuai diketengahkan sebagai calon Menteri Besar Johor daripada PH.
“Itu kena tanya dengan pimpinan PH yang lain,” katanya ringkas.
Sebelum ini, timbul dakwaan bahawa nama Maszlee disebut-sebut sebagai antara calon Menteri Besar Johor daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekiranya PH berdepan PRN negeri itu pada masa akan datang.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi daripada pimpinan PKR atau PH berhubung dakwaan pencalonan Maszlee sebagai Menteri Besar Johor. – UTUSAN








