KUALA LUMPUR: Jaguh powerlifting para negara, Bonnie Bunyau Gustin meletakkan sasaran tinggi untuk membawa pulang dua pingat emas pada Sukan Para Komanwel Glasgow pada Julai ini serta Sukan Para Asia Aichi-Nagoya yang dijadual berlangsung Oktober.
Bonnie berkata, dia kini pada landasan terbaik untuk mengekalkan momentum cemerlang dalam kategori 72 kilogram (kg) selain mahu memastikan setiap angkatan dapat disempurnakan dengan baik di kedua-dua temasya berkenaan.
“Untuk Sukan Komanwel dan Sukan Asia, saya berharap dapat buat yang terbaik semasa temasya nanti. Untuk kedua-dua temasya ini juga, saya berharap dapat kutip pingat emas dan mengekalkan ranking saya,” katanya selepas Anugerah Atlet Para Terbaik Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 100 PLUS 2025 di sini, kelmarin.
Dalam majlis sama, atlet kelahiran Sarawak itu turut dipilih sebagai Atlet Para Terbaik selepas mempertahankan gelaran tersebut buat tahun kedua berturut-turut sekali gus membawa pulang RM10,000 beserta trofi.
Mengulas sasaran rekod, Bonnie berkata, beliau ketika ini lebih memberi tumpuan kepada konsistensi prestasi berbanding mencipta rekod baharu dalam masa terdekat.
“Untuk rekod saya belum rancang lagi. Saya mahu kekalkan ranking di kedudukan pertama. Setakat ini rekod saya belum ada siapa yang boleh cabar lagi,” katanya.
Untuk rekod, Bonnie kini memegang rekod dunia angkatan 232kg dalam kategori 72kg yang dilakukan pada Sukan Paralimpik Paris 2024, sekali gus menghadiahkan emas buat negara dan mengekalkan dominasi selepas turut menang di Olimpik Tokyo 2020.
Sebagai persiapan menghadapi Sukan Para Komanwel (23 Julai hingga 2 Ogos) dan Sukan Para Asia (18 hingga 24 Oktober), Bonnie akan menjalani latihan intensif sepenuhnya di Malaysia bagi memastikan tahap prestasinya kekal berada pada tahap terbaik. – UTUSAN










