Sawah Selangor berpotensi kerana teratur, sistematik

Sawah Selangor berpotensi kerana teratur, sistematik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Pengeluaran padi di Selangor mencapai tahap tertinggi bagi setiap hektar iaitu sekitar enam hingga 10 tan metrik sehektar berbanding negeri lain berikutan mempunyai sawah yang teratur dan bersistematik.

Menurut seorang pengusaha tanaman ruji itu di Sungai Besar, Mokhtar Talha, 59, kesemua pesawah-pesawah di kawasan Barat Laut Selangor mematuhi sistem penanaman padi sejak 1960-an lagi apabila kaedah dua musim diperkenalkan.

“Memang diakui teratur dan ada disiplinnya yang semua pesawah kena patuhi sebagai contoh, masa ditetapkan untuk tanaman padi mengikut kawasan yang dipecahkan kepada empat bahagian iaitu di Tanjong Karang, Sekinchan, Pasir Panjang dan Sungai Besar.

“Setiap pesawah perlu mematuhi peraturan yang dibuat berdasarkan sistem giliran pengairan bermula dari Tanjong Karang hinggalah ke Sungai Besar melalui sumber air dari Sungai Tengi memasuki saluran dipanggil sebagai ‘palong’,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Moktar berkata, palong adalah satu-satunya sistem pengairan dalam negara ini yang terdapat di Selangor kerana ia dibina lebih 50 tahun dahulu dengan menggunakan konkrit dan kedudukannya lebih tinggi di atas tanah.

“Palong terdapat di setiap blok-blok kawasan sawah padi di negeri ini yang akan membekalkan air ke dalam sawah padi apabila tiba musimnya. Tujuan penggunaan palong adalah mengawal sumber air dan memastikan keseluruhan bekalannya sentiasa mencukupi.

“Pengaliran air akan bermula di Tanjong Karang kerana kawasan tersebut adalah yang pertama sekali akan menanam padi, ketika pesawah di sana mula menanam padi, di Sungai Besar pula kami sedang menuai, maka palong di sini kering, tak ada air kerana disalurkan di sana, begitu juga sebaliknya,” jelasnya.

Berdasarkan maklumat menerusi laman Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor, sistem saliran terkawal itu dibina oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang dahulu dikenali sebagai Jabatan Parit dan Taliair (JPT) pada 1932.

Kemudian pembangunan saluran air di sana diteruskan pada 1948 oleh jabatan sama termasuk pembinaan Ibu Empangan Sungai Bernam.

Pembangunannya kemudian diteruskan lagi dan pada 1962, tanaman padi dua kali setahun diperkenalkan dan pada masa sama rumah pam di Bagan Terap dibina bagi memenuhi keperluan air.

Dalam pada itu, seorang lagi pesawah, Rahmat Basri, 56, memberitahu, selain sistem giliran pengairan menerusi palong, sawah-sawah di Selangor turut melalui proses penuaian menggunakan jentera berturutan.

“Itu mungkin langkah yang jimat dan mengurangkan kos pembelian jentera. Maksudnya tak perlu ada jentera mesin penuai yang banyak, apabila melalui giliran, kawasan mana perlu dituai akan menggunakannya terlebih dahulu.

“Sungai Besar adalah kawasan yang terakhir, jadi selepas tempat lain selesai menuai, pesawah di sini pula akan mendapatkan khidmat jentera daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk menuai dan mengangkut padi serta jerami,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×