Salah tafsir keputusan 'dilepas tanpa dibebas'

Salah tafsir keputusan ‘dilepas tanpa dibebas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) yang digunakan di mahkamah ketika proses pendakwaan kes jenayah rasuah sering kali disalah tafsir sehingga menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat.

Menurut Penasihat Undang-Undang Universiti Teknologi Mara, Prof. Dr. Haidar Dziyauddin, sedangkan kedua-dua keputusan itu adalah dua perkara yang berbeza.

Beliau menjelaskan, menerusi DNAA, orang kena tuduh (OKT) memang akan dilepaskan daripada pertuduhan yang sedang dihadapi ketika itu, bagaimanapun, individu itu pada bila-bila masa boleh dihadapkan di mahkamah atas pertuduhan sama.

“Terdapat pelbagai situasi yang boleh mendorong kepada keputusan DNAA termasuk isu teknikal dan ramai tidak tahu bahawa ia sebenarnya memanfaatkan kedua-dua pihak sama ada pendakwaan atau defendan.

“DNAA juga membolehkan pendakwaan semula dengan bukti yang lebih kukuh, dan ini akan mendorong kepada pendakwaan yang tidak dapat dicabar pihak defendan,” katanya menerusi ruangan kolumnis di laman web Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Beliau berkata, antara kes terbesar yang diumum sebagai DNAA namun berjaya dijatuhkan hukuman adalah pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak apabila beliau pada 7 Februari 2019, dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada tiga tuduhan tambahan pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta.

Bagaimanapun, pada keesokan harinya, Ahli Parlimen Pekan itu didakwa semula atas pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen sebelum kes itu ditamatkan apabila Najib didapati bersalah bersama empat pertuduhan lain di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

Katanya, empat pertuduhan lain itu ialah tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan dana SRC, bekas anak syarikat 1MDB.

“Secara umumnya, ramai dalam kalangan masyarakat suka membuat kesimpulan salah berhubung keputusan DNAA kerana mereka tidak betul-betul memahami betapa kompleksnya pihak berkuasa menyiasat kes melibatkan rasuah dan pengubahan wang haram.

“Kes rasuah melibatkan sekurang-kurangnya dua orang. Justeru, jika individu yang terlibat adalah ramai dan ia membabitkan dana yang begitu banyak, sudah tentu SPRM memerlukan masa untuk menyiasat sebelum dapat lakukan tangkapan untuk menumpaskan sindiket tersebut,” katanya.

Beliau memberitahu, di Malaysia, pelaksanaan DNAA tidak mempunyai had masa untuk individu tersebut didakwa semula atas pertuduhan sama.

Justeru, katanya, ini membolehkan pihak berkuasa mengambil masa mereka untuk melakukan siasatan terperinci.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi selepas 77 hari dibicarakan.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) agar prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya