Rundingan projek jalan Gopeng-Kuala Kangsar masuki fasa akhir Disember ini - Utusan Malaysia

Rundingan projek jalan Gopeng-Kuala Kangsar masuki fasa akhir Disember ini

JALALUDDIN Alias (tiga dari kanan) menanam pokok pada program SCR di Alor Pongsu, Bagan Serai hari ini. - UTUSAN/ WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Rundingan mengenai pembinaan jalan pintas lebuhraya yang menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar (WISE) memasuki fasa terakhir pada Disember ini.

Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, cadangan pembinaan lebuhraya sepanjang 60 kilometer itu mampu menyuraikan aliran trafik di Jalan Persekutuan dan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

“Kos projek itu belum diketahui lagi kerana perbincangan fasa akhir pada Disember ini.

“Perkembangan mengenai perbincangan itu termasuk kos pembinaan akan diumumkan kemudian,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Masjid Al-Mahmuddiah, Matang Pasir, Alor Pongsu di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah LLM, Sazali Harun dan Presiden Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.

Sementara itu, Jalaluddin berkata, pembinaan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) di Seksyen 11 iaitu Beruas ke Changkat Jering akan siap pembinaannya pada Disember tahun ini.

Menurutnya, seksyen sepanjang 35.5 kilometer dari Beruas ke Changkat Jering itu dijangka beroperasi pada Januari depan.

“Pembinaan WCE melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM5.2 bilion, sepanjang 233 kilometer dari Rawang hingga ke Changkat Jering,” katanya.

Mengenai program CSR hari ini, Jalaluddin berkata, program itu melibatkan pembersihan kawasan masjid dan tanah perkuburan serta penanaman pokok di kawasan masjid yang disertai 50 warga kerja LLM serta PLUS. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya