KOTA BHARU: Kelantan dijangka menerima kemasukan kira-kira satu juta kenderaan sempena cuti panjang dan sambutan Aidiladha pada 27 Mei ini sekaligus dijangka menyebabkan peningkatan mendadak aliran trafik bermula Jumaat ini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Mohd. Misuari Abdullah berkata, pertambahan jumlah kenderaan itu berlaku susulan kepulangan perantau untuk menyambut Aidiladha serta melaksanakan ibadah korban bersama keluarga di kampung.
Katanya, pengguna jalan raya diingatkan supaya mematuhi undang-undang trafik bagi mengelakkan kemalangan dan kesesakan sepanjang musim perayaan.
“Pengguna jalan raya perlu mematuhi had laju, lampu isyarat, tidak memotong di garisan berkembar, tidak memandu di lorong kecemasan, memakai tali pinggang keselamatan atau topi keledar serta tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu.
“Bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, seramai 187 anggota penguat kuasa melibatkan 33 kenderaan penguat kuasa serta 50 pasukan operasi akan terlibat dalam Ops Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2026 bermula 24 hingga 31 Mei,” katanya pada sidang media sempena Ops Luxury 2.0 di Ibu Pejabat JPJ Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Misuari berkata, sepanjang operasi itu, JPJ turut bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi melakukan pemeriksaan terhadap pemandu bas ekspres.
Katanya, JPJ juga akan menjalankan rondaan di semua jalan persekutuan dan negeri dengan memberi tumpuan kepada 10 koridor utama trafik serta 38 kawasan ‘blackspot’ kemalangan berdasarkan data Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Justeru, semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal dan sentiasa mengutamakan keselamatan,” katanya. – UTUSAN










