ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa disiplin, komitmen dan daya tahan yang tinggi mampu mengatasi pelbagai cabaran.
Baginda juga menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sheikh Ahmad atas pencapaian cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang berjaya merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.90 dengan tujuh pelajar memperoleh keputusan semua A.
Titah baginda, kejayaan tersebut amat signifikan memandangkan sebahagian calon peperiksaan berhadapan dengan cabaran banjir yang menjejaskan perjalanan mereka ke pusat peperiksaan.
“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga sekolah untuk terus melakar kecemerlangan pada masa hadapan,” titah baginda berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Hari Anugerah Kecemerlangan SMK Dato’ Sheikh Ahmad Kali Ke-49 2026 di Arau.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah Pendidikan Perlis, Rose Aza Che Arifin, Pengetua, Adilah Muhammad Noor bersama barisan pengurusan sekolah.
Sempena majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyempurnakan penyampaian pelbagai anugerah kecemerlangan akademik.
Antaranya Anugerah Terbaik SPM 2025 bagi kategori 6A, 7A, 8A, 9A dan semua A, selain menyampaikan Anugerah Khas Dato’ Wan Ahmad dimenangi oleh Lai Young En, Anugerah Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) dinobatkan kepada Amsyar Ailyasyaq Mohamed Azam serta Anugerah Citra Budi disampaikan kepada Zaihaidah Hassan Raza.
Tuanku Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan menyempurnakan penyampaian Anugerah Pencapaian Terbaik Dinamis, Anugerah Peningkatan Terbaik Mata Pelajaran SPM 2025, Anugerah Kepimpinan, Anugerah Keterampilan serta Anugerah Sumbangan Agensi Luar kepada para penerima yang berjaya.
Dalam ucapan, Adilah memaklumkan bahawa sepanjang sesi 2026, SMK Dato’ Sheikh Ahmad selain bidang akademik telah mencatat pelbagai kejayaan cemerlang dalam bidang kokurikulum.-UTUSAN










