Rugi punca penerbangan komersial LTAM ditamatkan

Rugi punca penerbangan komersial LTAM ditamatkan

KEADAAN dalam terminal LTAM di Batu Berendam, Melaka sunyi dan lengang selepas penerbangan komersial dihentikan bulan lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua syarikat penerbangan yang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam di sini sebelum ini terpaksa memberhentikan operasi kerana mengalami kerugian akibat kurang sambutan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, penerbangan komersial di negeri ini dihentikan selepas satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan perkhidmatan, Wings Abadi Air turut menamatkan jadual perjalanannya.

Jelas beliau, penamatan penerbangan dari Pekanbaru, Indonesia ke Melaka itu dibuat selepas syarikat mengalami kerugian ekoran permintaan yang terlalu rendah.

“Saya sendiri telah mengadakan mesyuarat dengan enam syarikat penerbangan domestik dan antarabangsa termasuklah Air Asia yang sebelum ini beroperasi di LTAM tetapi sehingga kini tiada sebarang petunjuk positif.

“Isu utama adalah kos operasi yang tinggi sedangkan jumlah penumpang pula pada hari biasa tidak sampai separuh daripada kapasiti penuh pesawat menyebabkan mereka terpaksa memberhentikan operasi penerbangan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, LTAM menyambung semula operasi pada September tahun lalu selepas tiga tahun ditutup akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, terminal itu kembali suram ekoran penamatan penerbangan komersial dalam dan luar negara, selain dibuat tanpa sebarang notis menyebabkan banyak pihak kecewa.

Tambah Hameed Mytheen, kerajaan negeri bersedia membincangkan insentif yang boleh diberikan kepada mana-mana syarikat penerbangan yang berminat menyediakan perkhidmatan di LTAM.

Katanya, sehingga kini pihaknya masih menunggu maklum balas penyedia perkhidmatan berkenaan apakah bentuk bantuan diperlukan.

“Justeru, kita mempelawa mana-mana syarikat penerbangan komersial untuk beroperasi di LTAM yang sedang rancak mengadakan pelbagai acara sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya