PUTRAJAYA: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh terdekat bagi siasatan lanjut berhubung isu perlombongan unsur nadir bumi (REE).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tindakan mengambil keterangan Sanusi itu bergantung kepada pegawai penyiasat yang berkemungkinan memanggil beliau dalam minggu ini atau minggu hadapan.
Kata beliau, proses mengambil keterangan pula akan berlangsung di Ibu Pejabat SPRM.
“Kertas siasatan membabitkan REE ini sudah berada di peringkat akhir untuk dilengkapkan, jadi kita akan panggil beliau bagi menjelaskan perkara ini.
“Siasatan yang dilakukan SPRM terhadap isu REE ini adalah secara menyeluruh dari sudut tata kelola dan undang-undang yang digunakan dalam REE, selain melihat kepada sistem dan prosedur operasi standard (SOP).
“Ini bagi memastikan hasil siasatan nanti bukan sahaja ditumpukan kepada perlakuan jenayah tetapi adakah terdapat penyalahgunaan sistem dan prosedur itu,” katanya selepas ditemui dalam Program Executive Talk bersama SPRM di sini hari ini.
Pada 9 Ogos lalu, SPRM memaklumkan pihaknya memperoleh petunjuk baharu dan mungkin akan memanggil individu penting bagi membantu siasatan rasuah dan salah guna kuasa dalam perlombongan (REE) di Kedah.
Siasatan terperinci masih dijalankan pegawai penyiasat dan keterangan baharu berjaya diperoleh.
Ditanya sama ada keterangan baharu itu akan menyebabkan Muhammad Sanusi dipanggil memberi keterangan, Azam menjelaskan tindakan akan dilakukan berdasar hasil siasatan pegawainya.
Media sebelum ini melaporkan, SPRM menahan reman seorang Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Diperbadankan (MBI) bagi membantu siasatan membabitkan kesalahan rasuah dan salah guna kuasa dalam sektor perlombongan REE dengan jumlah rasuah melebihi RM13 juta.
Turut ditahan seorang wanita berjawatan pengarah syarikat dan kedua-duanya yang masing-masing berusia 63 dan 40 tahun ditahan di Alor Setar serta ibu negara.
Aktiviti perlombongan dijalankan secara haram oleh sebuah syarikat itu dikatakan mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa tertentu sejak 2020.
Hasil siasatan dijalankan SPRM mengesan terdapat beberapa pembayaran disyaki membabitkan rasuah berjumlah lebih RM13 juta diberikan syarikat berkenaan.-UTUSAN










