JERANTUT: Seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (PPPTR) Tekam di sini, mencipta teknik ‘kating’ bagi membolehkan murid prasekolah menggunting dengan betul.
Guru tersebut, Ku Aznita Ku Abdullah, 39, berkata, idea itu timbul selepas melihat muridnya tidak menguasai Kemahiran Motor Halus, iaitu koordinasi otot-otot kecil di tangan, jari dan pergelangan tangan yang membolehkan pergerakan serta kawalan tepat khususnya ketika menggunting mengikut garisan di kertas.
“Pengesanan awal dalam kalangan murid prasekolah sebilangannya tidak mahir menggunting pelbagai jenis garisan, iaitu lurus, putus-putus, beralun serta bentuk asas lain disebabkan kekok dan postur tidak tetap sehingga menggunting tidak ikut garisan.
“Berasaskan kelemahan kemahiran motor halus murid berkenaan, timbul idea untuk membantu mereka mahir menggunting garisan dengan menggunakan teknik kating hasil inovasi saya sendiri,” katanya kepada Mingguan Malaysia di SK PPPTR Tekam.
Menurut Ku Aznita, dia cuma berbelanja RM3 untuk menyediakan peralatan gunting, pita velcro, benang dan jarum serta mengambil masa kira-kira 15 minit sekiranya semua peralatan sudah siap untuk pembelajaran.
Katanya, sejak penggunaan teknik tersebut, semua murid begitu teruja dan menunjukkan minat yang bersungguh untuk mencuba semasa pembelajaran di kelas.
Dia berkata, teknik itu sesuai untuk semua peringkat murid sekolah rendah, iaitu prasekolah, tabika, tadika, tahap satu serta kelas pemulihan khususnya yang lemah kemahiran menggunting.
Katanya, projek inovasi itu adalah penyertaannya pertama kali dan tidak menyangka mendapat pengiktirafan Anugerah Perak Kategori Individu Prasekolah dalam Pertandingan Guru Inovatif Negeri Pahang sempena Hari Guru peringkat kebangsaan tahun ini.
“Projek ini akan ditambah baik antara penyelesaian Kemahiran Motor Halus yang berlaku dalam kalangan murid untuk diperkenal ke peringkat kebangsaan dan signifikan diimplementasi kepada pembelajaran anak-kanak berusia bawah tujuh tahun,” katanya.-UTUSAN.









