ROME: Pemain tenis Norway, Casper Ruud membelasah wakil tuan rumah, Luciano Darderi 6-1, 6-1 untuk melangkah ke final Terbuka Itali meskipun perlawanan separuh akhir itu terganggu akibat hujan lebat.
Pakar gelanggang tanah liat itu tidak berdepan masalah besar menundukkan Darderi yang tampil buat kali pertama di pentas separuh akhir kejohanan Masters 1000, sekali gus menempah tiket ke final pertamanya sejak menjuarai kejohanan di Stockholm, Oktober tahun lalu.
Aksi di Rome itu terpaksa dihentikan hampir dua jam akibat hujan ketika Ruud sudah mendahului 4-1 pada set pertama, namun gangguan tersebut langsung tidak menjejaskan rentaknya.
Ruud mengakui pengalaman beraksi di pentas besar menjadi faktor utama kejayaannya mengawal permainan.
“Ini separuh akhir Masters 1000 saya yang ke-10, manakala ia kali pertama buat Darderi. Saya cuba gunakan pengalaman itu sebaik mungkin dan saya rasa saya melakukannya dengan baik.
“Mungkin dia sedikit tertekan dan gementar dengan suasana perlawanan, tetapi saya kekal fokus dan berada dalam dunia saya sendiri,” katanya.
Kemenangan itu turut menyaksikan Ruud merekodkan kemenangan ke-140 di gelanggang tanah liat sejak 2020, jumlah tertinggi dalam Jelajah ATP selain muncul pemain paling banyak meraih gelaran di permukaan tersebut dalam tempoh sama.
Lebih menarik, Ruud kini berpotensi berdepan bintang sensasi Itali, Jannik Sinner dalam perlawanan akhir jika pemain nombor satu dunia itu menewaskan Daniil Medvedev pada satu lagi aksi separuh akhir. –AGENSI










