JOHOR BAHRU: Bermula dengan hanya mahu melihat murid luar bandar berani bertutur dalam bahasa Inggeris, seorang guru muda dari Sekolah Kebangsaan (SK) Yong Peng berjaya mengangkat nama sekolah sehingga muncul juara pertandingan sebutan korus (choral speaking) peringkat kebangsaan, tahun lalu.
Bagi Nur Afiqah Zainal, 34, kejayaan tersebut bukan hadir dalam sekelip mata, sebaliknya daripada pengorbanan masa, tenaga dan kesabaran mendidik murid sejak mereka berada di tahun satu lagi.
Dia yang mula mengajar di sekolah itu pada tahun 2016 berkata, kebanyakan murid di kawasan luar bandar tidak mempunyai keyakinan bertutur dalam bahasa Inggeris kerana kurang pendedahan serta tidak didorong untuk bersaing seperti murid di bandar.
“Semua ini bermula dalam kelas. Saya latih mereka daripada sebutan asas, cara bercakap dan keyakinan diri sejak tahun satu. Bila masuk tahun empat, saya nampak potensi mereka untuk diketengahkan dalam pasukan choral speaking.
“Anak-anak ini bukan terus pandai. Mereka perlu dilatih berulang kali. Saya bukan hanya ajar sebutan tetapi juga maksud ayat, emosi dan ekspresi muka supaya mereka faham apa yang disampaikan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.-UTUSAN.









