PEMIKIRAN dan penilaian dalam masyarakat secara umum terhadap sesuatu isu yang bersandarkan kepada nilai sentimental tanpa kefahaman ilmu dan fakta mencetuskan kebimbangan dalam pembentukan peradaban dan kematangan masyarakat.
Situasi itu diakui oleh Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam dan Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Dr. Mohd. Nor Mamat apabila beliau berkongsi pelbagai isu-isu semasa sama ada bersama mahasiswa ataupun masyarakat umum dalam pelbagai seminar.
Selama 24 tahun menjadi warga pendidik, anak kelahiran Terengganu itu akui perubahan terhadap cabaran untuk membentuk minda kelas pertama dalam masyarakat bukannya semakin mudah.
Realiti kebanyakan isu dihadapi masyarakat tidak dinilai dengan kefahaman ilmu yang betul sebaliknya bersandarkan kepada sentimental iaitu sokongan daripada kelompok terbanyak dan bimbang untuk berdepan dengan perbezaan pandangan dalam arus perdana.
Hal demikian menyebabkan jika satu kesilapan dilakukan oleh seseorang menyebabkan dia mungkin dibenci keseluruhannya dan hilang semua kebaikan yang banyak dicurahkan.
“Situasi tersebut banyak terjadi dalam media sosial apabila kebanyakan golongan muda kini mahu menjadi pempengaruh (influencer), tetapi gagal mengulas sesuatu isu itu berdasarkan pemahaman ilmu yang menyeluruh.
“Sebagai contoh, apabila ada sesuatu keburukan atau kesilapan dilakukan oleh seseorang figura termasuklah bergelar ‘ustaz’, habis semuanya dibenci sehingga hilang semua perkara baik yang pernah dilakukan dengan tanggapan ‘begini rupanya perangai si polan’.
“Kemudian muncul pula sebilangan individu yang cuba mengambil kesempatan terhadap isu sedemikian untuk menumpang popular supaya dapat berniaga dan sebagainya, akhirnya ia merebak dan membentuk pemikiran masyarakat bersifat sentimental,” katanya.
Selain itu, Mohd. Nor dalam sesi kuliahnya sering berkongsi pelbagai perkara lain termasuklah isu paling dekat dengan masyarakat iaitu poligami yang heboh dibincangkan dalam media sosial melibatkan pempengaruh dan selebriti.
“Bermula dengan kes Pengarah Filem, Syamsul Yusof dengan Puteri Sarah dan Ira Kazar, kemudian ‘Abang Tesla’ dan sekarang anak selebriti Abby Abadi dengan Norman Hakim.
“Perbincangan dan ulasan individu dalam media sosial yang konon-kononnya menyokong pihak tertentu menyebabkan poligami itu terus dipandang buruk dan orang yang arif dan mempunyai ilmu dalam perkara itu pula yang terpinggir.
“Sepatutnya masyarakat dijelaskan dengan ilmu dalam undang-undang syariah tentang poligami, apa yang patut dan tidak patut, bahagian mana yang dikatakan hukumnya sunat, harus, makruh atau haram,” jelasnya.
Namun, katanya lagi, pengalaman serta pengetahuan sepanjang mengajar dalam subjek berkaitan pengurusan komunikasi mendapati perbincangan dan perkongsian yang dilakukan kerap kali tidak beretika dan bertentangan kematangan masyarakat.
“Bila beri pendapat, kalau dapat tarik simpati dan menangkan pihak-pihak tertentu, ramailah yang menyokong dan akan popularlah pandangan itu.
“Kalau diberi pandangan berasaskan ilmu, boleh jadi tak selari dengan kehendak dan persepsi mereka, susahlah pandangan itu hendak diterima, walaupun sebenarnya tahu perkara itu betul. Perkara benar tetap benar,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Mohd. Nor, isu-isu semasa sering menjadi selingan gurauan dalam kuliahnya kerana ia mudah mencuit hati semua orang yang merasakan sesuatu perkara berlaku itu sangat dekat dengan mereka.
“Menjadi cabaran untuk warga pendidik memandu mereka menyampaikan pandangan dengan ilmu dan pemahaman penuh supaya ia tidak berteraskan emosi semata-mata, akhirnya fahaman yang tidak benar tersebar luas.
“Janganlah kerana kita mahu popular dan menyokong pihak tertentu akhirnya perkara benar tidak dijelaskan, hanya mahu dapat perhatian atau menumpang populariti sesuatu isu dan masyarakat pula terus hanyut,” jelasnya. –Mingguan Malaysia
Ramai suka berhujah tanpa berlandaskan ilmu
- Oleh MOHAMAD ATHIR ISMAIL
- 17 September 2023, 6:03 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Segera keluar daripada ‘perangkap’ pendidikan
22 September 2024, 8:15 am
Pendidikan 3M perlu strategi jangka panjang
15 September 2024, 10:03 am
Kerajaan Perpaduan melepasi 660 hari
15 September 2024, 8:28 am