PETALING JAYA: Program Jualan Rahmah Beras menawarkan beras import pada harga lebih murah berbanding pasaran mendapat sambutan hangat orang ramai apabila bekalan habis dalam tempoh tiga jam setelah inisiatif itu mula dilancarkan bermula kelmarin.
Tinjauan di enam negeri terlibat mendapati, bekalan beras licin dalam tempoh tiga jam selepas ia mula dijual pada pukul 9 pagi.
Jualan ini menawarkan beras import pada harga antara RM13 hingga RM14 sekampit lima kilogram (kg) dengan sasaran agihan kepada golongan memerlukan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, Jualan Rahmah Beras yang berlangsung di seluruh negara akan menggunakan beras import susulan kekurangan beras tempatan ketika ini.
Beliau berkata, kerajaan melancarkan Jualan Rahmah Beras bagi meringankan beban rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga beras di pasaran ketika ini.
Di SEREMBAN, jualan beras putih tempatan (BPT) menerusi pelaksanaan Intervensi Pengedaran BPT melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang diadakan di Negeri Sembilan semalam menjadi tumpuan orang ramai.
Tinjauan di Pusat Operasi FAMA Senawang pagi semalam menyaksikan orang ramai berpusu-pusu dan beratur panjang untuk mendapatkan 690 bungkusan BPT 10kg yang dijual.
Seorang peniaga, Fauziah Abu Bakar, 50, berkata, dia mengetahui terdapat jualan BPT yang diadakan di premis FAMA itu sejak semalam menerusi media sosial.
“Memang tiada lagi jual beras tempatan di pasar raya dan kedai-kedai runcit, jadi saya terpaksa sebelum ini membeli beras import yang harganya agak mahal.
“Saya dan keluarga memang makan beras tempatan sahaja dan alhamdulillah dapat beras tempatan 10kg hari ini (semalam). Saya dapat jimat separuh perbelanjaan daripada membeli membeli beras import,” katanya.
Pada masa sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, menerusi program intervensi itu, sebanyak 20 metrik tan BPT iaitu 2,000 pek bungkusan 10kg beras itu diedarkan di outlet-outlet peruncitan FAMA di seluruh negeri ini.
Beliau bagaimanapun mengakui jumlah tersebut tidak mencukupi dan telah meminta supaya FAMA Negeri Sembilan untuk membuat tempahan bagi mendapatkan lagi bekalan tambahan BPT.
“Memang tidak cukup, selepas diedarkan hari ini, bekalan habis paling lewat dalam tengah hari ini, tidak sempat untuk seminggu ini. Oleh itu saya sudah minta FAMA supaya membuat pembelian lagi dan memohon untuk mendapatkan bekalan tambahan.
“Bekalan ini masih lagi tidak cukup kerana keperluan rakyat agak mendadak, jadi program ini perlu kerap kita lakukan termasuk dengan penglibatan pihak Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) selepas ini bagi pastikan beras cukup untuk orang ramai,” katanya.
Sementara itu di KUALA TERENGGANU, FAMA Terengganu memasarkan sebanyak 1,000 kampit beras tempatan bagi membantu mengatasi isu bekalan beras di negeri ini bermula semalam.
Menurut Pengarah FAMA negeri, Nukman Hashim, bekalan itu merupakan langkah intervensi Program Khas Beras Putih Tempatan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Jelas beliau, penjualan itu dilakukan secara berperingkat untuk memenuhi keperluan outlet usahawan di bawah Fama sekaligus menjamin ketersediaan bekalan beras tempatan di pasaran.
Katanya, sebanyak 1,000 kampit beras 10kg diedarkan ke 38 outlet FAMA iaitu Agrobazar Rakyat dan Agrobazar Kedai Rakyat di seluruh Terengganu.
“Dengan langkah ini, pengguna boleh mendapatkan beras tempatan pada harga kawalan iaitu RM26 bagi kampit 10kg dan ini adalah antara inisiatif kementerian yang dilaksanakan melalui FAMA. Selain diagihkan kepada outlet di bawah FAMA, jualan terus kepada orang ramai menerusi program Jualan Agro Madani turut dipergiatkan di seluruh negeri dari masa ke semasa.
“Jumlah ini mungkin tidak cukup bagi memenuhi permintaan namun ini adalah sebagai permulaan yang diharap membantu pengguna berdepan isu bekalan dan harga beras,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga Agrobazar Rakyat, Siti Asyikin Amani berkata, dia telah menerima 50 kampit beras tempatan untuk dijual kepada orang ramai sejak semalam lagi.
Siti Asyikin berkata, usaha pihak berwajib mengambil langkah membekalkan beras tempatan sedikit sebanyak melegakan bukan sahaja pengguna bahkan berita baik buat golongan peniaga.
“Sejak isu kenaikan harga beras import yang melambung tinggi, orang ramai mula mencari beras tempatan malangnya terpaksa pula berdepan isu bekalan yang terputus.
“Bekalan (beras tempatan) yang ada sebelum ini ‘licin’ tidak sampai seminggu dan saya pasti bekalan yang baru diterima ini juga akan habis dalam masa singkat kerana lebih murah,” katanya.
Dalam masa sama, di JOHOR BAHRU, pelbagai usaha dilaksanakan termasuk mengadakan Jualan Agro Madani memberi kelegaan kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah mendapatkan barangan keperluan asas, termasuk beras tempatan yang agak sukar diperoleh pada masa ini.
Seorang pesara, Azhar Abdul Wahab, 74, mengakui harga ditetapkan sebanyak RM27 bagi sekampit beras 10kg dan seekor ayam membantu meringankan beban dalam menyediakan keperluan harian bagi keluarganya.
Katanya, bulan lalu dia terpaksa membeli beras import yang dijual pada harga lebih mahal, iaitu RM39 sekampit apabila sukar mendapatkan bekalan beras tempatan.
“Saya sudah cari di beberapa lokasi termasuk kedai runcit dan pasar raya di sekitar Tampoi untuk mencari beras tempatan, tetapi tidak jumpa. Alhamdulillah, rezeki hari ini apabila dapat beli beras dengan harga RM27, malah turut dapat seekor ayam,” katanya ditemui pada Jualan Agro Madani di Pasar Tani Kekal Jalan Datin Halimah.
Seorang suri rumah, Hafizah Hassan, 35, pula berharap Jualan Agro Madani itu dapat diteruskan dan dilaksanakan lebih kerap bagi membantu masyarakat mendapatkan bekalan beras tempatan.
“Untuk keluarga saya, beras 10kg boleh tahan sebulan. Alhamdulillah saya dapat peluang ini untuk beli beras dan ayam seekor pada harga hanya RM27 sebab dalam pasaran paling murah saya jumpa kira-kira RM39 sekampit,” katanya.
Di PERLIS, bermula kelmarin, Kawal Selia Padi dan Beras negeri mula mengedarkan 50 tan metrik beras putih menerusi empat pengilang sebagai intervensi bagi menyediakan bekalan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad berkata, pihak Kawal Selia Padi dan Beras akan memberi fokus terhadap pekedai dan peruncit di dalam setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis bagi memastikan bekalan beras putih berada di dalam pasaran.
“Boleh dikatakan sebilangan kedai dalam kawasan Kangar, Arau dan Padang Besar telah menerima bekalan beras putih ini bagi menampung permintaan pengguna di negeri ini,” katanya selepas mengadakan perbincangan bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) semalam.
Di MELAKA, tambahan 500 tan metrik beras tempatan diluluskan untuk dibawa masuk bulan ini dilihat dapat menampung keperluan rakyat serta mengurangkan kebergantungan pengusaha restoran terhadap beras import.
Ia mampu mengurangkan kenaikan mendadak harga makanan berasaskan nasi yang boleh menjejaskan pendapatan harian pengusaha restoran dan jumlah kunjungan pelancong.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, sejak Sabtu lalu, pemborong beras tempatan di Melaka telah mendapat kelulusan membeli 500 tan metrik makanan ruji berkenaan.
Katanya, sehingga kelmarin, jumlah beras tempatan yang masuk ke Melaka adalah 120 tan metrik manakala baki 380 tan metrik bakal menyusul sehingga hujung bulan ini.
“Saya telah minta Kawal Selia Padi dan Beras Melaka memantau teliti ke semua proses masuk dan keluar beras ini daripada pemborong sehingga ke kedai-kedai.
“Pada masa sama, saya telah minta FAMA menjalankan Program Agro Madani Khas untuk menjual beras tempatan di seluruh negeri,” katanya.
Dalam pada itu, PULAU PINANG menjadi negeri pertama menerima bekalan beras tempatan menerusi program Intervensi Pengedaran Beras Putih Tempatan (BPT) bagi memastikan bekalan beras putih tempatan tidak terputus di pasaran.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan, Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol berkata, menerusi program itu kerajaan negeri menerima 3,000 kampit bekalan beras tempatan yang kesemuanya seberat 30,000 kilogram untuk diedarkan kepada penduduk negeri itu. – UTUSAN










