KUALA LUMPUR: Pusat Sains Negara (PSN) memainkan peranan memastikan golongan orang kurang upaya (OKU) serta kurang bernasib baik tidak ketinggalan dalam pembelajaran sains dan teknologi.
Malah, institusi itu menerusi tanggungjawab sosialnya menganjurkan Hari Istimewa Sains selama dua hari bermula hari ini sehingga esok bagi memberi pendedahan kepada golongan masyarakat berkenaan mengalami sendiri pembelajarannya melalui pelbagai aktiviti.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, program tersebut diadakan pada setiap tahun bagi menggalakkan penglibatan golongan OKU dalam aktiviti pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
“Program ini juga merupakan sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terhadap Dasar OKU yang memberi hak dan peluang kepada semua lapisan masyarakat termasuk OKU untuk menerima pendidikan sepanjang hayat dalam bidang STI,” katanya, hari ini.
Menerusi Hari Istimewa Sains, peserta boleh menyertai enam aktiviti seperti eksplorasi alam, persembahan sains, persembahan gemilang anak-anak istimewa, bengkel permainan sensori, ceramah untuk orang awam dan stesen Let’s Xperiment.
Penganjurannya melibatkan kerjasama strategik daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Dalam pada itu, Lih Kang memaklumkan, aktiviti yang dianjurkan direka khas bersesuaian dengan kemahiran sensori dan kognitif peserta.
“Kebanyakan aktiviti adalah berkonsepkan bermain sambil belajar melalui pelbagai deria (penglihatan, sentuhan, bau, rasa dan pendengaran). Antara aktiviti yang dirancang adalah aktiviti kreatif hands-on, demonstrasi sains, persembahan anak-anak OKU, bengkel permainan sensori dan eksplorasi alam.
“Harapan saya, agar semua peserta akan mendapat mempelajari ilmu selain daripada memori menarik di PSN. Semoga apa yang diperoleh akan dapat memberi inspirasi, diaplikasi dan digunakan dalam kehidupan harian anak-anak semua,” ujarnya. – UTUSAN










