UMNO sedia terima bekas pemimpin Bersatu sertai Rumah Bangsa

UMNO sedia terima bekas pemimpin Bersatu sertai Rumah Bangsa

AHMAD Maslan semasa sidang akhbar di Wisma Pan Borneo, Jabatan Kerja Raya (JKR) Putatan, Sabah hari ini. UTUSAN/RAEESAH HANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTATAN: UMNO bersedia menerima penyertaan mana-mana bekas ahli atau pemimpin parti lain termasuk daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi inisiatif Rumah Bangsa selagi tidak bercanggah dengan peruntukan Akta Anti Lompat Parti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, sebarang tindakan melibatkan pemimpin parti lain yang digantung atau dipecat perlu dirujuk kepada peruntukan undang-undang sedia ada sebelum mereka menyertai UMNO.

Menurut beliau, perkara itu khususnya melibatkan ahli Parlimen yang masih memegang jawatan dan tertakluk kepada tafsiran Akta Anti Lompat Parti.

“Saya ahli jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Naib Presiden UMNO. Pemimpin daripada Bersatu yang menerima tindakan disiplin itu, kita pulangkan kepada mereka untuk melihat dan meneliti Akta Anti Lompat Parti.

“Jika tidak ada apa-apa halangan dalam Akta Anti Lompat Parti untuk mereka menyertai UMNO, silakan menyertai UMNO. Kalau ada halangan, mereka kena mengatasi halangan itu,” katanya semasa sidang akhbar di Wisma Pan Borneo, Jabatan Kerja Raya (JKR) Putatan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, halangan berkenaan bukan datang daripada UMNO, sebaliknya mungkin melibatkan kekangan undang-undang di bawah Akta Anti Lompat Parti.

“Halangan bukan daripada kami, mungkin ada halangan daripada Akta Anti Lompat Parti untuk ahli Parlimen yang sedang menjawat jawatan bagi memasuki UMNO dalam Rumah Bangsa ini.
Jika ada halangan, mereka perlu merujuk kepada peguam untuk mentafsirkan akta itu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, UMNO menerima penyertaan semua pihak tanpa syarat seperti ditegaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini, khususnya melibatkan golongan bumiputera.

Semalam, Naib Presiden UMNO merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO bersedia menerima bekas ahli atau pemimpin Bersatu yang dikenakan tindakan disiplin untuk menyertai parti itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN