SEREMBAN: Jika ditanyakan penduduk khususnya yang sudah lama tinggal di bandar ini, pastinya tidak asing dengan pusat beli-belah Terminal 1 yang terletak di Jalan Lintang di sini.
Apa tidaknya, sejak dibina pada 1996 dan seterusnya beroperasi tidak lama selepas itu, ia menjadi tumpuan ramai kerana pada waktu itu ia menjadi pusat beli-belah paling besar di negeri ini.
Ia berterusan menjadi tumpuan dan sentiasa penuh dengan orang ramai untuk beberapa tahun kemudian, tidak kira sama ada pada hujung minggu atau pada waktu hari bekerja. Apatah lagi terletak pula bersebelahan dengan Pusat Pengangkutan Terminal 1.
Bagaimanapun suasana meriah tersebut tidak lagi berlaku dan keadaan pusat beli-belah itu kini lengang tanpa kehadiran ramai pengunjung malah kebanyakan lot kedai di dalamnya sudah ditutup.
Seorang peniaga pakaian, Steven KC Wu, 61, berkata, keadaan di pusat beli-belah itu menjadi lebih buruk apabila berlaku perintah kawalan pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19 lalu yang memberi kesan kepada peniaga-peniaga di situ.
“Ramai peniaga tidak dapat bertahan dan menghentikan perniagaan mereka. Ada yang langsung tidak meneruskan perniagaan mereka.
“Bagaimanapun apa yang saya lihat keadaan ini berlaku kerana lokasi ini sudah tidak lagi menjadi pilihan orang ramai kerana sekarang sudah banyak pusat beli-belah lain dibuka di beberapa kawasan.
“Kemudian apabila beberapa cawangan restoran makanan segera tidak lagi beroperasi malah medan selera pula juga tidak lagi dibuka, sudah tentu pusat beli-belah ini tidak lagi menjadi pilihan terutama dalam kalangan mereka yang berkeluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia
Sementara itu seorang pengunjung, Hamidi Izwan Ahmad Soffian, 47, berkata, sesuatu perlu dilakukan sama ada oleh pihak pengurusan Terminal 1 atau kerajaan bagi memastikan pusat beli-belah berkenaan kembali dikunjungi seperti pada waktu kegemilangannya dulu.
Katanya, pusat beli-belah itu terletak di kawasan yang cukup strategik malah kemudahan yang ada cukup lengkap disediakan oleh pihak pengurusan termasuk daripada segi kebersihan memuaskan.
Sementara itu, Pengurus Perbadanan Pengurusan Terminal 1, G. Navinder Singh berkata, pusat beli-belah itu berkonsepkan skim strata dan setiap lot perniagaan mempunyai pemiliknya sendiri.
“Peranan kami antaranya tentulah berkaitan hal penyelenggaraan pusat beli-belah ini selain menganjurkan program-program bagi menarik kunjungan ramai di sini.
“Usaha sentiasa dijalankan supaya ramai peniaga dapat menjalankan perniagaan mereka di sini,” katanya yang memberitahu sekitar 67 peratus daripada keseluruhan lot perniagaan di situ masih beroperasi. – UTUSAN











