PETALING JAYA: Satu kertas siasatan dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung Himpunan Selamatkan Malaysia yang berlangsung di ibu negara semalam.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, siasatan berkenaan dilakukan selepas perhimpunan berkenaan didapati tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA).
Justeru kata beliau, siasatan akan dilakukan di bawah akta berkenaan.
“Kita (polis) akan memanggil sesiapa sahaja yang terlibat dalam waktu sehari dua ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Himpunan semalam dihadiri lebih 850 orang bermula di Masjid Jamek Kampung Baru kira-kira pukul 1.15 petang dan berakhir pada pukul 3.30 petang di hadapan pusat beli-belah Sogo.
Sepanjang tempoh itu, seramai 16 individu dikesan telah berucap.
Semalam, polis mengklasifikasikan perhimpunan berkenaan sebagai tidak patuh namun mereka tetap mengambil tindakan dalam memudahcarakan perhimpunan agar tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Penganjuran perhimpunan itu diadakan bagi menuntut supaya kerajaan memberikan keadilan sewajarnya kepada semua lapisan masyarakat di negara ini.
Satu laporan dibuat oleh Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail bersama Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali dan empat lain di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wang, dekat sini bagi menyiasat ke atas semua pihak yang dikatakan terbabit dalam proses menghentikan pendakwaan ke atas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini.
Dalam pada itu, penganjur turut mendesak supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara diasingkan daripada kuasa eksekutif. – UTUSAN










