KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan tiga individu yang gagal tampil untuk dirakam keterangan berhubung ‘Himpunan Selamatkan Malaysia’ di ibu negara, Sabtu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya akan mengeluarkan nama-nama individu berkenaan kepada umum untuk memudahkan pencarian sekiranya mereka masih gagal tampil dan memberi keterangan kepada polis.
Katanya, setakat ini polis telah mengenal pasti seramai 28 individu yang menyertai perhimpunan tersebut.
“Daripada jumlah terbabit, seramai 16 individu telah hadir dan selesai diambil keterangan keterangan bagi melengkapkan siasatan,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Kontinjen di sini, hari ini.
Menurut Allaudeen, beberapa individu lagi akan diambil keterangan dalam masa terdekat.
“Bagaimanapun, kita ada tiga orang lagi yang tidak dapat dikesan. Kita berharap mereka (tiga individu) datang segera memberi kerjasama. Kalau masih tak datang juga kita akan keluarkan nama-nama mereka untuk membantu polis,” katanya.
Tambah beliau, kertas siasatan akan dilengkapkan untuk dirujuk kepada pihak pendakwa raya bagi tindakan lanjut.
“Kita yakin melengkapkannya pada minggu ini,” ujarnya.
Pada 16 September lalu, kira-kira 800 peserta menyertai Himpunan Selamatkan Malaysia yang dianjurkan Pemuda Perikatan Nasional dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkumpul di Masjid Jamek Kampung Baru di sini, kemudian berarak ke Jalan Tunku Abdul Rahman.
Allaudeen dilaporkan berkata, himpunan itu tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.
Perarakan itu diketuai Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard. – UTUSAN