PM: Hapuskan birokrasi ketika syarikat asing mahu melabur - Utusan Malaysia

PM: Hapuskan birokrasi ketika syarikat asing mahu melabur

Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail semasa sesi dialog dan makan malam bersama rakyat dan pelajar Malaysia di New York malam kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua pihak berkuasa negara ini perlu menghapuskan kerenah biro­krasi, sebaliknya menambah baik operasi di semua agensi bagi memudahkan urusan syarikat-syarikat ­asing yang semakin berminat untuk mengembangkan pelaburan di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sesetengah syarikat telah menemui kerajaan dan memaklumkan masih berlaku kelewatan dalam memberi kelulusan untuk menjalankan perniagaan dan mengembangkan operasi di negara ini.

Menurut beliau, perkara itu mengecewakan dan terdapat beberapa kes didakwa proses membuat keputusan masih lewat dan situasi itu memberi kesan kepada syarikat yang merancang untuk melabur.

Oleh itu, kata Anwar, kerajaan telah memberi arahan kepada menteri dan agensi berkaitan untuk memastikan semua permohonan diputuskan dengan cepat, termasuk kelulusan untuk pelaburan atau pengeluaran visa.

“Sesetengah syarikat yang menemui kami berkata masih ada kelewatan dalam memberi kelulusan. Saya sangat kecewa mendengarnya kerana kami telah memberi arahan jelas dan kita tidak boleh berlengah lagi.

TANGGUH

“Jika anda tangguh enam bulan, negara lain akan memberi kelulusan dalam masa dua bulan. Kita akan terlepas peluang kerana sikap itu. Tetapi untuk berlaku adil, kita telah melakukan yang terbaik di sini kerana kakitangan bekerja sepanjang masa untuk memastikan semuanya berjalan lancar (pertemuan dengan pelabur,)” kata Perdana Menteri memetik laporan Bernama.

Anwar berkata demikian pada sidang media hari akhir lawatan kerja empat hari ke New York sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 pada 20 hingga 24 September.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, syarikat aeroangkasa terbesar dunia, Boeing, yang memiliki kilang mengeluarkan sayap di Malaysia memaklumkan hasrat untuk mengembangkan pelaburan dengan mengeluarkan sayap dan bahagian-bahagian bagi semua jenis pesawat.

Syarikat itu bertapak di Malaysia melalui Aerospace Composites Malaysia Sdn. Bhd. (ACM), pakatan strategik antara Boeing dan Hexcel Corporation.

“Ini keputusan sangat besar untuk Malaysia. Dengan keputusan ini, hampir semua sayap dengan bahagian-bahagian akan dikeluarkan di Malaysia,” katanya.

Selain itu, kata beliau, beberapa syarikat utama Amerika Syarikat (AS) lain seperti ConocoPhillips, AWS, Google, Airbnb, Amazon, Amazon Web Services, and Kimberly-Clark juga akan mengembangkan operasi mereka ke Malaysia.
Jelasnya, dua syarikat elek­trik dan elektronik utama AS bersedia untuk mengembangkan operasi ke Malaysia, salah satunya ialah Alton Industry Ltd Group (Alton Group). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN