Pinda laporan audit 1MDB, keputusan lepas, bebas Najib hari ini

Pinda laporan audit 1MDB, keputusan lepas, bebas Najib hari ini

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Bung Moktar Radin terlepas daripada pertuduhan-pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi mereka, tiba pula giliran Datuk Seri Najib Razak mengetahui nasib beliau hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu mempunyai empat kes yang masih dalam proses di mahkamah. Salah satu daripada kes tersebut membabitkan pertuduhan melakukan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion.

Pertuduhan menyeleweng dana 1MDB itu sedang dibicarakan di peringkat pendakwaan.

Melihat kepada senarai saksi, hanya tinggal empat saksi pendakwaan yang akan dipanggil untuk melengkapkan hujah pendakwaan. Namun sama ada kes itu dapat diputuskan pada tahun ini, ia bergantung kepada keterangan dan sesi soal balas bagi setiap empat saksi berkenaan.

Oleh itu, tumpuan terdekat membabitkan pendakwaan ke atas Najib kini membabitkan tiga kes iaitu rayuan pihak pendakwaan di atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepaskan dan membebaskan Najib daripada pertuduhan meminda laporan audit 1MDB bagi mengelakkan beliau dikenakan tindakan.

Turut dibebaskan daripada pertuduhan sama ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Satu lagi kes membabitkan kes pecah amanah harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion yang dihadapi Najib bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah.

Pendakwaan ketiga membabitkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn. Bhd. (SRC) semuanya berjumlah RM27 juta.

Hari ini, Mahkamah Rayuan akan mendapatkan pengesahan pihak pendakwaan sama ada mereka akan meneruskan rayuan dalam kes meminda laporan audit yang dihadapi bekas Perdana Menteri dan juga juga bekas CEO 1MDB.

Ini kerana sehingga hari ini, pihak pendakwaan belum mengemukakan petisyen rayuan walaupun telah memfailkan notis rayuan pada 9 Mac lalu.

Mengikut Seksyen 307 Kanun Prosedur Jenayah, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah perlu memfailkan rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan itu dibuat.

Selepas itu, pihak yang ingin merayu perlu fail petisyen rayuan dalam tempoh 10 hari selepas mendapat rekod-rekod rayuan daripada mahkamah bicara. Bagaimanapun, dalam rayuan kes tersebut, pihak pendakwaan didapati belum memfailkan petisyen rayuan selepas tempoh 10 hari sudah berlalu.

Bagaimanapun, pihak yang ingin merayu boleh memohon masa tambahan untuk memfailkan petisyen rayuan sekiranya perlu. Namun setakat ini, pihak pendakwaan juga tidak memohon masa tambahan tersebut.

Sekiranya, pihak pendakwaan masih tidak memfailkan petisyen rayuan atau tidak lagi berminat untuk meneruskan rayuan, maka keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Mac lalu yang melepas dan membebaskan Najib dan Arul tanpa memanggil membela diri adalah kekal.

Pada 15 September ini, pihak-pihak yang terlibat dalam kes pecah amanah harta kerajaan bernilai RM6.6 bilion akan memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung keputusan representasi yang dihantar oleh Najib dan Mohd. Irwan Serigar pada Mac lalu.

Najib juga telah memfailkan representasi bagi kes pengubahan wang haram pada 31 Julai lalu yang juga merupakan representasi kedua dihantar berkenaan kes itu.

Pihak pendakwaan yang mengendalikan kes itu pada sebutan kes di hadapan Hakim K. Muniandy sebelum ini memaklumkan mereka memerlukan tiga bulan untuk meneliti semua isu yang dibangkitkan peguam dan menyediakan jawapan bertulis untuk representasi berkenaan.

Pengurusan kes ditetapkan pada 1 Disember ini untuk mengetahui status representasi terbabit.

Sekiranya kesemua representasi tersebut diterima, berkemungkinan proses pengampunan diraja untuk Najib ada asasnya.

Dalam masa sama, isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor turut menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara supaya semua 17 pertuduhan membabitkan  pengubahan wang haram dan mengelak cukai digugurkan.

Representasi itu dihantar selepas perbicaraan kes itu telah memanggil dua  saksi pendakwaan untuk memberi keterangan. Mahkamah menetapkan 13 Disember ini untuk mengetahui status representasi Rosmah.

Turut menghantar representasi ialah bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berhubung lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan lima pertuduhan menerima hasil aktiviti haram yang dihadapinya. Kes membabitkan Azlan ditetapkan untuk sebutan pada 10 November ini.

Bagi keputusan mahkamah membabitkan Presiden Muda,  Syed Saddiq Syed Abdul Rahman masih tergantung sehingga kini bekas.

Pada 11 April lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid selepas selesai mendengar hujah di akhir kes pembelaan memaklumkan pihak-pihak terlibat bahawa keputusan bagi kes itu akan dibuat pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Bagaimanapun, tarikh tersebut belum ditetapkan sehingga hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN