Perbaharui peta negara

Perbaharui peta negara, tunjukkan ketegasan kepada dunia kedaulatan wilayah kita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia perlu mengeluarkan peta baharu yang menunjukkan dengan jelas wilayah maritim negara terutama di Laut China Selatan.

Ini supaya dapat ditunjukkan dengan jelas kepada dunia akan ketegasan dalam memelihara hak berdaulat wilayah kita.

Kali terakhir Malaysia mengeluarkan peta adalah pada 1979 iaitu selepas 16 tahun negara ditubuhkan meliputi Sabah dan Sarawak.

Sejak itu peta Malaysia tidak pernah dikeluarkan sehingga hari ini.

Meskipun kerajaan konsisten menolak tuntutan dan campur tangan asing di kawasan maritim negara berdasarkan Peta Baru Ma­laysia 1979, namun kedaulatan wajar diperkukuhkan dengan mengeluarkan peta baharu itu.

Di samping itu, juga perlu diadakan komunikasi berterusan tentang isu Laut China Selatan bagi memastikan situasi di lapangan terus aman.

DR. MOHD. HAZMI MOHD. RUSLI

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar undang-undang maritim antarabangsa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli berkata, Malaysia harus mengeluarkan peta terbaharu yang menunjukkan dengan jelas wilayah maritim negara di Laut China Selatan setelah kali terakhir dibuat pada 1979.

Katanya, tindakan China mengeluarkan Peta Standard Edisi 2023 menuntut langkah segera kerajaan termasuk agensi di bawahnya mengeluarkan peta terkini Malaysia yang me­nunjukkan persempadanan terkini negara termasuk hak ke atas perairan di Sabah dan Sarawak.

“Kita perlu tegas dan komited dalam soal kedaulatan negara dengan pelbagai langkah termasuk mengeluarkan satu peta baharu.

“Kita juga harus memperkukuhkan aset maritim negara bagi menjaga sempadan negara dan melibatkan semua pihak terlibat antaranya seperti para diplomat, akademik, pegawai kerajaan dan sebagainya dalam usaha berterusan mendepani isu Laut China Selatan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia dan China bersetuju untuk mengadakan komunikasi berterusan dan terbuka berkenaan isu Laut China Selatan bagi memastikan situasi di lapangan sentiasa aman semasa perjumpaannya dengan Premier China, Li Qiang.

Isu Laut China Selatan sebelum ini kembali diperbincangkan setelah Kementerian Sumber Asli China mengeluarkan peta baharu yang menunjukkan kawasan sebahagian besar perairan Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak dimasukkan sebagai sebahagian wilayah negara itu.

Dalam pada itu, Mohd. Hazmi berkata, malah, Malaysia perlu meneruskan usaha mewujudkan  Code of Conduct atau kod perilaku Laut China Selatan yang bukan sahaja untuk mampu menjaga keamanan rantau ini tetapi untuk mengelakkan sebarang pencerobohan.

Katanya, negara juga perlu mendukung segala usaha negara-negara yang menjalankan Operasi Kebebasan Navigasi (FONOP) di Laut China Selatan bagi menghalang sebarang provokasi yang dibuat oleh pihak tertentu.

Menurutnya, tidak dinafikan Malaysia dilihat secara konsisten menolak tuntutan kedaulatan oleh mana-mana pihak asing namun perkara itu perlu disusuli dengan tindakan tegas agar usaha tersebut dapat dibuktikan.

“Seperti saya sebut tadi, antara tindakan ini adalah mengeluarkan peta terbaru yang menunjukkan dengan jelas wilayah maritim negara di Laut China Selatan serta memperkukuh aset maritim negara dalam menjaga sempadan negara.

“Ia perlu bergerak bersama, bukan sahaja kerajaan keseorangan namun wajar melibatkan semua pihak yang terlibat seperti diplomat, akademik, pegawai kerajaan dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN