IPOH : Perak sedia mempertimbangkan pengurangan bayaran premium tanah kepada pemohon yang layak di bawah kategori miskin tegar atau orang kelainan upaya (OKU).
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak (PTG) telah mengeluarkan Pekeliling Pengarah Tanah Dan Galian Negeri Perak Bilangan 3 tahun 2020, berkaitan dengan Dasar Permohonan Rayuan Pengurangan Premium kepada pemohon individu yang benar-benar layak.
Tambahnya, pengurangan bayaran premium berdasarkan syor oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri untuk diputuskan oleh pihak berkuasa negeri.
“Kerajaan negeri memahami dan sentiasa prihatin kepada golongan miskin dan kurang berkemampuan untuk membayar kadar premium tanah yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Ong Boon Piow (DAP-Bercham) yang bertanyakan tentang hasrat menawarkan pembayaran premium pembaharuan geran tanah secara ansuran dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Kata menteri besar lagi, kaedah pembayaran premium secara ansuran tidak dilaksanakan kerana bayaran itu adalah bersifat one off untuk membolehkan hak milik didaftarkan. –UTUSAN










