Pas sahkan lima jawatan tertinggi tidak dipertandingkan

Pas sahkan lima jawatan tertinggi tidak dipertandingkan

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pas mengesahkan lima jawatan tertinggi parti itu tidak akan dipertandingkan dalam Muktamar Tahunan ke-69 yang dijadual berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober ini di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.

Perkara tersebut disahkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, lima jawatan tertinggi itu ialah presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden.

“Untuk jawatan presiden dan timbalan presiden dan tiga naib presiden hanya ada satu pencalonan iaitu mengekalkan jawatan yang ada (tiada pertan­dingan).

“Jadi, pertandingan tahun ini hanya melibatkan pemilihan ahli jawatankuasa (AJK) Pas pusat,” katanya.

Muktamar tahunan parti itu menyaksikan 197 kawasan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak akan memilih 18 individu bagi mengisi kerusi AJK Pas Pusat.

Mengenai jawatan naib pre­siden, Takiyuddin berkata, peringkat awal pihaknya menerima empat pencalonan bagaimanapun Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang dinamakan sebagai calon telah menolaknya.

Tiga jawatan Naib Presiden Pas ketika ini disandang Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Datuk Idris Ahmad dan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

Sementara, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengambil alih teraju kepimpinan Pas pada 2002 daripada Allahyarham Datuk Fadzil Noor sekali gus menjadi pemimpin Pas paling lama menyandang jawatan itu.

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula memegang jawatan nombor dua parti itu sejak 2015. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN