Masyarakat punca 18.6% bekas banduan dipenjarakan semula

Masyarakat punca 18.6% bekas banduan dipenjarakan semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sentimen negatif masyarakat yang masih tebal terhadap bekas banduan walaupun mereka sudah dihukum di sebalik ‘tirai besi’ untuk satu jangka masa panjang adalah faktor utama menyebabkan mereka kembali melakukan kesalahan atau jenayah.

Pandangan serong itu juga menyebabkan ada banduan yang 42 kali keluar-masuk penjara akibat tidak mampu berhadapan sentimen masyarakat.

Berdasarkan statistik Jabatan Penjara Malaysia (JPM) bermula 2011 hingga 2022, peratusan banduan yang dibebaskan kemudian dipenjarakan semula adalah 18.6 peratus (jumlah kemasukan residivis 37,551 orang) daripada 202,348 orang.

Berdasarkan kesalahan yang dilakukan bagi tahun 2022, kategori pesalah dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan Akta Penagih Dadah (APD) pula sebanyak 77.2 peratus atau 50,080 orang dari 64,862 orang.

Manakala, bagi kategori pesalah jenayah pula ialah sebanyak 35.3 peratus atau 22,914 orang dari 64,862 orang banduan.

Untuk rekod, residivis adalah panggilan buat banduan yang kembali ke dalam penjara kerana melakukan jenayah berulang dalam tempoh tiga tahun dari hari terakhir pembebasannya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Penempatan dan Pemulihan Penjara (Pemaaf), Mohd. Shahirul Khalid Mohamad berkata, terdapat banduan yang sudah 42 kali keluar-masuk penjara kerana menyerah kalah untuk berhadapan dengan sentimen masyarakat.

Kata beliau, bekas-bekas banduan tidak semuanya perlu dipandang serong kerana terdapat banyak dalam kalangan mereka ingin berubah selepas menjalani hukuman namun masyarakat seolah-olah tidak membenarkan.

“Hanya sebab gelaran ‘bekas banduan’ mereka dipandang hina, sedangkan di luar pun ada banyak orang yang melakukan kesalahan tetapi apa yang membezakan dengan bekas banduan adalah sama ada kena tangkap ataupun tidak.

“Selain daripada keluarga, masyarakat turut perlu memberi sokongan kepada bekas banduan ini untuk berubah. Apabila sokongan itu tidak ada yang menyebabkan hati mereka berpaling tadah,” katanya ketika dihubungi.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengakui antara faktor berlakunya residivis adalah tiada tempat tinggal, hidup bergelandangan, penolakan keluarga, perkahwinan bermasalah, pengangguran, diskriminasi masyarakat, ketagihan dadah dan mempunyai penyakit berjangkit.

Mohd. Shahirul berkata, program seperti Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) perlu diperluas dan banduan yang menyertai perlu dibawa keluar daripada tempat tinggalnya untuk mengelak daripada bergaul dengan rakan-rakan yang akan mempengaruhi mereka.

“Ini bagi memastikan mereka (banduan) tidak kembali terjebak dalam sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang. Kita kena pulihkan mereka dan salah satu caranya adalah membawa mereka ke tempat lain jauh daripada port (tempah menagih dadah).

“Jenayah seperti penagihan dadah ni adalah penyakit jadi sudah pasti boleh dirawat,” katanya.

Sementara itu, beliau berpendapat bagi bekas-bekas pesalah yang melakukan kesalahan kecil ataupun pertama tidak sepatutnya direkodkan ataupun disenarai hitam kerana ia akan menjadi penyebab mereka disisih daripada komuniti.

“Antara cadangan saya tu, kesalahan seperti mengenai dadah ini diasingkan daripada kesalahan-kesalahan besar sehingga mereka direkodkan atau disenarai hitam.

“Ini kerana apabila mereka sudah pun berubah tetap sukar untuk mendapatkan pekerjaan kerana rekod tersebut,” katanya – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN