Lelaki memandu mabuk sebabkan kematian polis kekal bebas

Lelaki memandu mabuk sebabkan kematian polis kekal bebas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang pengurus jualan yang sebelum ini didakwa memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang anggota polis dan mencederakan seorang lagi, lima tahun lalu kekal bebas selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norzilati Izhani Zainal @ Zainol memohon kebenaran untuk memfailkan notis rayuan di luar tempoh masa yang ditetapkan.

Pada 25 Mac 2022, N. Mohan Rao dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas didapati bersalah atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan sehingga menyebabkan kematian Konstabel Mohd. Zamiri Sinsian dan menyebabkan Konstabel Osman Ibrahim cedera parah.

Bagaimanapun, pada 31 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan rayuan yang dikemukakan oleh lelaki berkenaan dan mengetepikan sabitan salah serta hukuman yang dikenakan ke atas Mohan Rao.

Tarikh akhir pihak pendakwaan perlu memfailkan notis rayuan ialah pada 14 Jun lalu iaitu 14 hari selepas keputusan Mahkamah Tinggi namun pendakwaan hanya menerima arahan berbuat demikian pada 19 Jun lalu. 

Pada hari sama (19 Jun lalu), pendakwaan memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran memfailkan notis rayuan di luar tempoh masa.

Pada prosiding hari ini, Mohan Rao diwakili peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam.

Terdahulu, ketika membaca penghakiman ringkas majoriti 2-1, Hakim M. Gunalan yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menyatakan, pihak pendakwaan gagal memberikan alasan kukuh berhubung kelewatan dalam memfailkan notis rayuan tersebut.

Selain itu, pihak pendakwaan juga gagal untuk mengemukakan peruntukan undang-undang yang sepatutnya dalam mempengaruhi mahkamah agar berpihak kepada mereka.

“Alasan bahawa berlaku situasi terlepas pandang dan masalah komunikasi (communication breakdown) tidak boleh diterima. Oleh itu, permohonan pemohon (pendakwaan) tidak mempunyai sebarang merit dan ditolak,” kata hakim itu.

Turut menyokong keputusan itu ialah Hakim Datuk S. M. Komathy Suppiah manakala Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menentang.

Sementara itu, Hakim Ahmad Zaidi ketika membaca penghakiman menentangnya menyatakan, pendakwaan memberikan alasan kukuh berhubung kelewatan tersebut dan kelewatan dalam memfailkan notis rayuan itu juga bukanlah sesuatu yang boleh memprejudiskan responden (Mohan Rao).

Tambahnya, persoalan undang-undang yang ditimbulkan oleh pihak pendakwaan adalah sesuatu yang serius dan wajar diputuskan oleh mahkamah.

Pada 5 Disember 2018, media melaporkan seorang seorang anggota polis maut manakala seorang lagi parah selepas dirempuh pemandu dipercayai mabuk dalam kejadian di Jalan Semantan, Kuala Lumpur ketika sedang melakukan pemeriksaan mengejut terhadap sebuah kenderaan lain.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN