ARAU: Ahli keluarga mangsa nahas kapal terbang di Elmina, Shah Alam, Selangor berharap laporan awal siasatan dapat merungkai segala persoalan dalam kalangan waris.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, kakak kepada Allahyarham Sharipuddin Shaari, Ramlah, 57, berkata, keputusan laporan itu akan memberi sedikit kelegaan kepada keluarga mangsa selama ini.
Katanya, dia berharap kerajaan dapat melakukan siasatan dengan adil dan saksama mengenai nahas itu sekali gus dapat menolak pelbagai spekulasi yang bermain di media sosial.
“Walaupun adik saya bukanlah penumpang pesawat tersebut namun dia salah seorang daripada dua pengguna jalan raya yang maut akibat nahas itu.
“Saya sebagai ahli keluarga mangsa memang ingin sangat mengetahui perkembangan kes ini kerana ia melibatkan adik lelaki tunggal kami,” katanya.
Tambah Ramlah, dia juga berharap kerajaan dapat melakukan siasatan telus, adil dan saksama agar memberi keadilan kepada waris mangsa.
“Saya juga berharap agar kebajikan waris mangsa terutama ibu, Hatun Bakar, 82, yang kini tinggal berseorangan mendapat perhatian pihak berwajib,” katanya. – UTUSAN










