Kita bukan pinda Perlembagaan tiap-tiap hari - Mohamed Khaled - Utusan Malaysia

Kita bukan pinda Perlembagaan tiap-tiap hari – Mohamed Khaled

Perlembagaan
MOHAMED Khaled Nordin ditemui pemberita selepas menyempurnakan penutupan Minggu TVET Digital PolyCC di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tiada pindaan Perlembagaan Persekutuan dilakukan setiap hari yang memerlukan kerajaan memperoleh sokongan dua pertiga di dalam Dewan Rakyat, malah sebahagian undang-undang juga cukup dengan sokongan majoriti mudah untuk dipinda.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan masih teguh berdiri dengan sokongan majoriti yang baik meskipun kehilangan dua pertiga selepas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyertai blok pembangkan sebagai kuasa ketiga.

“Itu hak dia. Bukan kita bergerak memerlukan dua pertiga, hanya kalau dirasakan kalau hendak pinda perlembagaan, jadi kita tidak pinda perlembagaan tiap-tiap hari, kan?

“Kita percaya hendak pinda perlembagaan mesti bermatlamatkan sesuatu yang baik dalam negara, jadi saya percaya kalau politik tidak toksik, kalau benda itu baik semua parti akan sokong, maka dapatlah dua pertiga.

“Cuma secara khususnya bila sampai masa nanti, kita akan tengoklah macam mana nanti. Bukan semua benda perlu dua pertiga, sesetengah perkara hanya perlukan (sokongan) majoriti mudah,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Terdahulu, Syed Saddiq yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengumumkan menarik diri daripada menyokong kerajaan selepas mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melanggar garisan merah berkenaan keputusan mahkamah terhadap Timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Tindakan yang dibuat bekas Menteri Belia dan Sukan itu menyebabkan Kerajaan Perpaduan kini mempunyai 147 sokongan anggota Dewan Rakyat selepas hanya lapan bulan berkuasa atas majoriti dua pertiga.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled menjelaskan, tindakan Syed Saddiq itu bagaimanapun menyukarkan pelaksanaan agenda-agenda reformasi termasuk pemisahan kuasa di peringkat perundangan, namun yakin mendapat sokongan jika ia memberi kebaikan kepada negara.

“Ada perkara-perkara yang mungkin melibatkan reformasi dan sebagainya, misalnya pengasingan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya, kalau ada sesetengah parti merasakan itu perlu untuk negara, mengapa tidak dia berikan sokongan?

“Kita bukan hendak pinda perlembagaan tiap-tiap hari,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya