Bayaran interim RM1.5 bilion cermin kesungguhan Persekutuan laksana hak 40 peratus Sabah

Bayaran interim RM1.5 bilion cermin kesungguhan Persekutuan laksana hak 40 peratus Sabah

EWON Benedick beramah mesra dengan orang ramai dalam Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, Penampang - ihsan UPKO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENAMPANG: Keputusan Kerajaan Persekutuan meningkatkan bayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion membuktikan kesungguhan kerajaan dalam melaksanakan hak 40 peratus hasil negeri itu seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick berkata, pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan Persekutuan dalam memenuhi tuntutan hak hasil Sabah sementara proses rundingan pemuktamadan mekanisme pelaksanaannya diteruskan.

“Saya bagi pihak UPKO mengalu-alukan komitmen Perdana Menteri untuk melaksanakan hak 40 peratus Sabah serta keputusan meningkatkan bayaran interim kepada RM1.5 bilion.

“Pengumuman ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan Persekutuan untuk memenuhi tuntutan berkaitan hak hasil Sabah secara berperingkat sementara rundingan pemuktamadan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah terus dilaksanakan,” katanya selepas menghadiri Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, di sini, hari ini.

Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, UPKO akan terus menyokong segala usaha ke arah pemulihan hak Sabah berlandaskan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, Anwar ketika berucap pada sambutan berkenaan menegaskan pihaknya kekal komited melaksanakan hak 40 peratus Sabah sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan MA63. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN