PERLEMBAGAAN adalah undang–undang tertinggi sebagai teras pemerintahan sesebuah negara. Hampir semua negara yang bertamadun dalam dunia ini memiliki Perlembagaan negara mereka sendiri. Negara kita pun mempunyai Perlembagaan yang merupakan unsur penting dalam mentadbir negara kita iaitu Perlembagaan Persekutuan.
Adalah penting untuk semua pihak mematuhi segala ketetapan yang telah dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan ini. Perlembagaan Persekutuan adalah undang–undang yang paling utama dan tertinggi dalam negara ini.
Malaysia bukan sebuah negara diktator yang mengamalkan sistem kuku besi. Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan sistem raja berperlembagaan.
Semua pihak tanpa mengira status mereka harus patuh pada segala undang–undang, peraturan dan ketetapan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan ini mengandungi 183 perkara atau ketetapan yang menetapkan segala hak dan tanggungjawab setiap warganegara serta pihak pemerintah. Ia merupakan satu dokumen undang–undang bertulis yang telah dibentuk berasaskan dua dokumen terdahulu iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1957.
Kedudukan istimewa Perlembagaan Persekutuan ini juga telah banyak kali dinyatakan melalui kes–kes mahkamah.
Oleh itu, adalah penting untuk semua pihak ketahui bahawa tiada sesiapa yang boleh menganggap diri mereka lebih tinggi daripada Perlembagaan Persekutuan. Mereka tidak boleh melakukan sebarang perkara yang melangkaui Perlembagaan Persekutuan dan segala jenis peruntukan undang–undang dan peraturan yang ada dalam negara kita. Sekiranya kita membiarkan mana–mana pihak melanggar segala ketetapan yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan ini, nescaya negara kita akan menjadi kacau bilau dan huru hara.
Pada masa yang sama juga adalah penting untuk kita ketahui bahawa semua pihak adalah sama disisi undang–undang dan Perlembagaan dalam negara kita. Tiada pihak yang boleh melihat diri mereka melangkaui undang–undang serta Perlembagaan Persekutuan.
Perkara ini juga jelas dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan dibawah Artikel 8 Perkara (1) menyatakan bahawa “Semua orang adalah sama rata di sisi undang–undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang–undang”.
Artikel 8 Perkara (2) turut menyatakan “Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini, tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata–mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana–mana undang–undang atau dalam pelantikan kepada apa–apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana–mana undang-undang yang berhubungan dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan penubuhan atau penjalanan apa–apa perdagangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan”.
Ini jelas menunjukkan kepada kita semua bahawa semua pihak harus dilayan dengan adil dan saksama sejajar dengan saranan Perlembagaan Persekutuan.
Mereka juga harus mematuhi segala undang–undang dan peraturan yang telah ditetapkan terhadap diri mereka.
Tindakan boleh diambil terhadap mana–mana pihak tanpa mengira darjat dan status mereka sekiranya mereka didapati melanggarkan undang–undang, peraturan dan ketetapan yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Fakulti Syariah & Undang–Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










