PETALING JAYA: Kini masanya untuk mengangkat maruah dan martabat negara kembali ke landasan asal serta memastikan bahawa setiap rakyat dapat mengecapi kebahagiaan dan aman hidup negara ini tanpa sesekali merasa disisihkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia hampir memasuki ulang tahun penubuhan negara Malaysia yang ke-60 dan inilah masanya rakyat mengangkat maruah dan martabat negara kembali ke landasan asal.
Katanya, Kerajaan Perpaduan kini sedang mempersiap negara bagi menempuhi fasa kedua Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang diberi tema ‘Mampan, Berpendapatan Tinggi, Sejahtera’ dengan tiga tumpuan utama iaitu memperkukuh kemampanan, membangunkan masyarakat sejahtera dan menuju negara berpendapatan tinggi.
“Saya gariskan sebanyak 17 anjakan utama dan 71 inisiatif utama yang diperkenalkan bagi memastikan keberhasilan perkara yang disasarkan. Kajian Separuh Penggal RMK12 ini akan terus memperkukuh agenda pembangunan negara dan rakyat ke arah mencapai matlamat Ekonomi Madani.
“Meniti ulang tahun penubuhan negara Malaysia yang ke-60, saya yakin inilah masanya kita mengangkat maruah dan martabat negara kembali ke landasan asal serta memastikan bahawa setiap rakyat dapat mengecapi rasa bahagia dan aman hidup negara ini tanpa sesekali merasa disisihkan.
“Ayuh kita merangkul muafakat menjadi satu ketumbukan ampuh untuk sama-sama memajukan tanah air tercinta ini,” katanya dalam Facebook beliau.
Terdahulu, Anwar membentangkan usul Kajian Separuh Penggal (RMK12) 2021-2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Kajian itu melibatkan anjakan baharu agenda pembangunan negara Kerajaan Perpaduan selaras dengan kerangka Ekonomi Madani, Memperkasa Rakyat yang disokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030). -UTUSAN










