KUALA LUMPUR: Kes membabitkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang didakwa membuat dan memulakan komunikasi jelik terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan tahun lalu akan bermula Oktober ini.
Ia selepas, Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) adalah supaya kes itu diteruskan dengan perbicaraan.
Kalmizah memaklumkan sedemikian rentetan representasi yang dihantar oleh Lokman beberapa bulan lalu.
Pada prosiding terdahulu, Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan menetapkan 9, 10, 11, 23 dan 24 Oktober in untuk perbicaraan kes itu. Hari ini, mahkamah turut menetapkan 21,22, 27,28 dan 29 November ini untuk tarikh perbicaraan.
Selain Kalmizah, pendakwaan turut disertai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal manakala peguam bela, Logen Eskander hadir mewakili Lokman.
Pada 1 September 2022, Lokman, 50, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu yang didakwa dilakukan melalui aplikasi Facebook atas nama profil “Lokman Noor Adam Official” dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Mengikut pertuduhan pertama membabitkan Ismail Sabri, beliau dituduh melakukan perbuatan itu pukul 11.16 malam pada 20 Ogos 2022.
Hantaran tersebut kemudiannya dibaca pukul 8.15 pagi pada 24 Ogos tahun sama di Mutiara Villa Jalan Tung Shin, Bukit Bintang di sini.
Bagi pertuduhan kedua, Lokman dituduh melakukan perbuatan sama terhadap kerajaan pukul 10.28 malam, 22 Ogos tahun sama dan pautan itu kemudian dibaca pukul 11.30 pagi pada 23 Ogos di sebuah restoran, di Jalan Sentul, di sini.
Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – UTUSAN










