MEKAH: Penyanyi terkenal, Ezad Lazim menepis dakwaan kononnya golongan selebriti mempunyai kemampuan kewangan dan berpeluang untuk menunaikan haji.
Menurut Ezad, perjalanan ke tanah suci bersama isterinya, Zeana Ramli adalah hasil perancangan termasuk simpanan Tabung Haji, permohonan dan rayuan yang dibuat sejak sekian lama berserta kesedaran untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.
Katanya, proses yang dilalui oleh selebriti atau artis tetap sama seperti jemaah lain termasuk menunggu giliran haji dan membuat simpanan.
“Ramai anggap bila jadi artis, senang dapat pergi haji sebab kononnya ada kemampuan. Hakikatnya, artis pun menabung dan melalui proses sama seperti orang lain.
“Bukan sekadar simpan dan tunggu, tetapi juga perlu buat rayuan dan ikut semua prosedur ditetapkan. Kita bukan istimewa, cuma rezeki masing-masing berbeza,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Beliau turut berharap masyarakat lebih memahami realiti sebenar di sebalik perjalanan ke Tanah Suci, yang bukan sekadar soal status atau populariti, tetapi melibatkan kesungguhan dan keikhlasan dalam memenuhi tuntutan ibadah.
Dalam pada itu, Zeana berkata, perjalanan ke tanah suci bersama suami bukan sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba.
“Sebaliknya melalui proses panjang sejak beliau mula mendaftar Tabung Haji pada 2009, walaupun kesedaran awal telah wujud lebih awal.
Katanya, pengalaman pertama menunaikan umrah pada 2008 menjadi titik tolak kepada kesungguhan untuk menabung dan membuat persiapan lebih serius bagi menunggu giliran haji.-UTUSAN.










