Nahas Elmina: 'Kemalangan itu tidak dapat diselamatkan kerana magnitud daya nyahpecutan dan kebakaran' - Utusan Malaysia

Nahas Elmina: ‘Kemalangan itu tidak dapat diselamatkan kerana magnitud daya nyahpecutan dan kebakaran’

LAPORAN siasatan awal nahas pesawat yang terhempas di Elmina akan didedahkan hari ini. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada bukti ketidakupayaan atau faktor fisiologi yang menjejaskan prestasi kru penerbangan merupakan antara penemuan laporan awal nahas pesawat ringan jenis Beechcraft Premier 1 di Elmina, bulan lalu yang dikeluarkan hari ini.

Laporan sama juga menyebut kemalangan itu tidak dapat diselamatkan kerana magnitud daya nyahpecutan dan kebakaran selepas kemalangan berlaku.

Menurut laporan itu, pesawat berkenaan mempunyai Sijil Kelayakan Udara yang sah dan telah dikekalkan dengan mematuhi peraturan.

Selain itu, insiden berlaku pada waktu siang dengan penglihatan yang jelas dan sesuai seperti yang dilaporkan dalam keadaan meteorologi atau kaji cuaca.

“PIC (person in command) telah dilesenkan dan layak untuk penerbangan mengikut peraturan sedia ada,” kata laporan itu.

Pada 17 Ogos lalu, negara dikejutkan dengan insiden pesawat ringan jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Selangor dan mengorbankan 10 individu termasuk pemandu kereta dan penunggang motosikal 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun antara individu disahkan maut di samping dua juruterbang dan enam penumpang dalam kejadian itu yang berlaku pada pukul 2.48 petang.

Pesawat itu dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang sebelum terhempas di Elmina Central Park, Seksyen U16, Shah Alam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN