Kekosongan DUN Jepak: SPR sudah dimaklumkan – Speaker DUN

Kekosongan DUN Jepak: SPR sudah dimaklumkan adakan PRK

ASFIA Awang Nassar (kiri) bercakap dalam sidang media berhubung kekosongan DUN Jepak di Kompleks DUN Sarawak di Kuching
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dimaklumkan berhubung kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N67 Jepak, kata Speaker DUN Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar.

Jelas Asfia, selaras dengan Artikel 21(5) Perlembagaan Negeri Sarawak, surat permakluman mengenai kekosongan luar jangka DUN tersebut dihantar kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh hari ini.

““Kekosongan luar jangka ini tiada siapa yang jangkakan dan ia melebihi tempoh dua tahun sebelum pembubaran secara automatik DUN Sarawak.

”Jadi kita tiada pilihan selain perlu mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan DUN tersebut agar penduduk di kawasan itu ada wakil rakyat yang mewakili mereka untuk menjaga kawasan DUN terbabit,” katanya dalam satu sidang media berhubung kekosongan DUN Jepak di Kompleks DUN Sarawak di sini hari ini.

Kekosongan kerusi DUN Jepak adalah disebabkan penyandangnya sebelum ini Allahyarham Datuk Talib Zulpilip meninggal dunia akibat komplilaksi kesihatan.

Kematian beliau telah mengakibatkan kerusi yang diduduki beliau kosong sekali gus membawa kepada keperluan mengadakan satu PRK bagi DUN tersebut.

Justeru itu, Asfia menambah penetapan tarikh bagi PRK pula adalah di bawah bidang kuasa SPR menerusi pengeluaran writ pilihan raya kecil selepas pemakluman kekosongan kerusi DUN itu dilakukan oleh Speaker DUN Sarawak.

“PRK bagi DUN Jepak perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas SPR mengeluarkan writ berkenaan kekosongan DUN susulan kematian penyandang Datuk Talib Zulpilip,” ujar Asifa.

Allahyarham Datuk Talib Zulpilip telah menyandang kerusi DUN N67 Jepak selama enam penggal sejak 1996.

Beliau juga pernah dilantik sebagai menteri di Jabatan Ketua Menteri Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Sarawak, dan pada pilihan raya negeri ke-12 (PRN-12) Sarawak lepas, beliau mengekalkan kerusinya dengan memperoleh 6,277 undi menewaskan tiga calon lain dengan majoriti 4,243 undi.

Bagaimanapun beliau telah meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah, Kuching pada 15 September lalu.

Sementara itu, Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian dan Daftar Pemilih yang digunakan bakal diputuskan pada mesyuarat khas, Isnin depan iaitu 25 September.

“SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi DUN Jepak.

“Justeru, mesyuarat khas akan dipengerusikan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh,” ujarnya. –UTUSAN

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN