Kad subsidi: Pakar ekonomi berbeza pendapat

Kad subsidi: Pakar ekonomi berbeza pendapat

BARJOYAI BARDAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakar ekonomi berbeza pendapat berhubung cadangan kerajaan memperkenalkan sistem kad untuk menyalurkan subsidi bersasar kepada golongan yang memerlukannya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, penggunaan sistem kad untuk menyalurkan subsidi bersasar sebenarnya sudah pun disyorkan sejak 12 tahun lalu.

Beliau berkata, sistem itu merupakan kaedah terbaik untuk dilaksanakan, namun tidak dapat direalisasikan kerana harganya terlalu mahal pada ketika itu.

“Cumanya, bagi melaksanakan subsidi bersasar untuk petrol dan diesel, ia agak sensitif kerana bahan api tersebut digunakan oleh semua jenis kenderaan.

“Jika kenderaan berkenaan digunakan untuk mengangkut barangan, ia akan mempengaruhi harga barangan di pasaran kerana meningkatkan kos penghantaran dan sebagainya,” katanya.

Beliau diminta mengulas berhubung laporan muka depan Utusan Malaysia bahawa kerajaan akan menggunakan sistem kad untuk menyalurkan subsidi bersasar bagi memastikan hanya kumpulan atau industri yang berkelayakan sahaja menerima manfaat daripadanya.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pada permulaan, sistem kad ‘fleet’ akan dilaksanakan bagi kawalan diesel bersubsidi terutama kepada industri pengangkutan tertentu bagi mengurangkan risiko ketirisan dan penyelewengan bahan api itu.

Kaedah ini, kata beliau, mampu menjimatkan perbelanjaan subsidi di samping mengawal ketirisan berjumlah RM10 bilion pada tahun lalu.

“Pada masa ini, di belakang tabir, pasukan dari Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang membangunkan satu program yang akan memperluaskan sektor-sektor awam termasuk pengangkutan dan sektor industri berkelayakan mendapat diesel subsidi melalui sistem kad.

“Pendekatan kita ambil sekarang ialah melebarkan pemberian subsidi itu kepada kumpulan layak melalui sistem kad supaya membolehkan pengesanan subsidi lebih baik, pada masa sama dapat mengurangkan risiko ketirisan,” katanya.

Bagaimanapun, Barjoyai menasihatkan supaya, kerajaan melaksanakan perancangan lebih rapi sebelum melaksanakan subsidi bersasar secara keseluruhan kepada masyarakat bagi mengelakkan golongan T20 dan M40 yang mungkin terjejas memberontak.

“Pada golongan tersebut, mereka juga adalah rakyat Malaysia, mereka juga layak mendapat bantuan seperti petrol. Jadi perlu ada proses pendidikan dan pemahaman terhadap golongan tersebut supaya mereka sendiri secara sukarela bersetuju pelaksanaan subsidi secara bersasar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Prof. Madya Dr.

BAHAROM ABDUL HAMID

pula melontarkan pandangan berbeza apabila berpendapat bahawa sistem kad dan subsidi bersasar adalah tidak praktikal, rumit dan terlalu kompleks untuk dilaksanakan.

 

Menurutnya, sistem kad tersebut hanya menambah beban kewangan kepada negara seperti penyelenggaraan aplikasi MySejahtera yang mencecah jutaan Ringgit.

Pada masa sama, beliau berpendapat subsidi bersasar yang ingin dilaksanakan kerajaan adalah umpama ‘hukuman’ terhadap sebahagian golongan M40 dan keseluruhan masyarakat berkelas T20 sedangkan mereka menanggung beban cukai, harga barang tanpa subsidi dan sebagainya.

“Ia umpama ‘dissincentive’ kepada golongan tersebut kerana menanggung cukai tinggi, subsidi pula tak layak.

“Apa mesej yang mahu kerajaan sampaikan kepada masyarakat? Mengajar rakyat menjadi malas? Jika memperoleh pendapatan terlalu tinggi banyak tekanannya, jadi lebih baik jadi golongan pertengahan saja. Subsidi dapat, cukai pun rendah,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan supaya kerajaan menumpukan sepenuh perhatian terhadap kaedah untuk memajukan dan menambah pendapatan negara supaya dapat berkongsikan kemewahan tersebut dengan rakyat secara keseluruhannya melalui subsidi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN