BACHOK: Seorang pelajar tingkatan empat berdepan detik cemas selepas kereta yang dia pandu ketika sedang dalam perjalanan pulang dari kelas tambahan di sekolahnya terbabas sebelum terjunam ke dalam kawasan pintu air Sungai Pengkalan Petah, Tawang di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.20 petang itu, mangsa yang berusia 16 tahun dan tidak memiliki lesen memandu kereta mengalami kecederaan pada bahagian siku selepas bertindak memecahkan cermin kiri kereta jenis Perodua Myvi untuk menyelamatkan diri.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Nor Azini Che Wil berkata, anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian apabila menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.21 petang sebelum mendapati orang awam sedang membantu menyelamatkan mangsa dengan menggunakan tali dan tangga.
Katanya, kereta dipandu mangsa yang merupakan pelajar di sebuah sekolah menengah agama di Kota Bharu dekat sini sudah tenggelam sedalam 15 meter ke dasar sungai tersebut.
“Siasatan awal mendapati, mangsa memandu kereta milik bapanya untuk pulang ke rumah di Kampung Sungai di sini selepas menghadiri kelas tambahan di sekolahnya.
“Orang awam melihat kereta tersebut terbabas sebelum terjunam ke dalam kawasan pintu air Sungai Pengkalan Petah. Penduduk kampung memaklumkan kunci air di sungai itu sudah ditutup sebelum menyelamatkan remaja itu,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Nor Azini memberitahu, mangsa yang mengalami kecederaan pada bahagian siku selepas memecahkan cermin kiri kereta itu dihantar ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.-UTUSAN








