ALOR SETAR: Lima daerah iaitu Kubang Pasu, Kota Setar, Pendang, Kuala Muda dan Pokok Sena berdepan banjir berikutan hujan lebat yang melanda kebanyakan kawasan sejak Isnin lalu.
Penduduk yang menjadi mangsa banjir juga terus meningkat apabila seramai 603 mangsa ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri setakat pukul 5 petang semalam.
Angka itu menyaksikan peningkatan mendadak daripada 341 mangsa yang direkodkan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah pada pukul 12 tengah hari.
Ketua Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi APM Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, sebanyak enam PPS dibuka di Pokok Sena, Kubang Pasu dan Kota Setar bagi menempatkan mangsa yang terjejas daripada 174 keluarga.
Katanya, Pokok Sena menjadi daerah tertinggi terjejas apabila 297 orang daripada 82 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Hijau.
“Seramai 208 orang daripada 61 keluarga pula ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun; Dewan Kampung Tradisi, Lembah Keriang; SK Malau dan Dewan PPK Lubuk Batu di Kubang Pasu.
“Sementara itu, 98 mangsa daripada 31 keluarga di Kota Setar pula ditempatkan di SK Taman Aman manakala PPS Dewan Taman Seri Bagan ditutup kira-kira 1.30 petang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Katanya, dua lagi daerah iaitu Pendang dan Kuala Muda tidak dibuka PPS.
Namun katanya, penduduk di kawasan-kawasan berisiko diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk dipindahkan sekiranya banjir semakin buruk.
Saifuddin berkata, setakat pagi semalam, paras air empat sungai masih berada pada tahap bahaya walaupun tiada hujan sejak petang Isnin lalu.
“Empat Sungai itu adalah Sungai Laka di Changlun yang merekodkan catatan 22.24 meter (m), Sungai Bata di Mukim Temin (9.43m), Sungai Pendang 2.83m dan Sungai Anak Bukit di Taman Aman iaitu setinggi 4.15m.
“Cuaca makin baik dengan jangkaan cerah serta panas sepanjang hari. MetMalaysia juga mengeluarkan notis bahawa amaran hujan lebat pada tahap waspada telah ditamatkan dan dengan itu kita harapkan keadaan banjir di kawasan terlibat akan pulih secepat mungkin,” katanya.
Sementara itu pihaknya turut bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan berkaitan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku antara Jumaat ini hingga 2 Oktober depan.
“Kita berharap agar cuaca cerah dan panas berterusan agar banjir yang sedang berlaku ini dapat reda sepenuhnya dan tidak bertembung dengan fenomena tersebut,” katanya. – UTUSAN










