Jati tawar khidmat sukarelawan lancarkan proses Jualan Rahmah di Perlis - Utusan Malaysia

Jati tawar khidmat sukarelawan lancarkan proses Jualan Rahmah di Perlis

FATHUL Bari Mat Jahya (berdiri, empat dari kanan) merakamkan gambar bersama jawatankuasa terlibat penganjuran program Explorace Merdeka Madani di Taman Sakura, Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pertubuhan Anak Jati Perlis (Jati) menawarkan khidmat kesukarelawanan bagi membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam melancarkan proses Jualan Rahmah di negeri ini.

Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, Jati merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai ramai sukarelawan dan akan diselaraskan di bawah pergerakan Khidmat 4 Kangar (K4K).

Katanya, terdapat beberapa NGO lain di bawah Pemuda UMNO Bahagian Kangar, Puteri UMNO Bahagian dan pelbagai lagi akan turut diselaraskan bagi membantu KPDN dalam melancarkan proses Jualan Rahmah tersebut.

“Dengan semua NGO ini, kita mahu tampil menawarkan khidmat sukarelawan bagi membantu meringan bebanan rakyat.

“Seperti mana semua tahu, Jualan Rahmah sememangnya mendapat sambutan sangat baik kerana ia menawarkan harga lebih murah dan disebabkan itu kami menawarkan sukarelawan ini bagi membantu melancarkan proses jualan berkenaan,” katanya selepas program Explorace Merdeka Madani di Taman Sakura, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fathul Bari berkata, antara khidmat sukarelawan yang boleh ditawarkan oleh NGO terlibat adalah meliputi kerja-kerja susun atur, pembungkusan produk barangan dan pelbagai lagi.

Katanya, penglibatan sukarelawan itu sedikit sebanyak membantu melancarkan perjalanan Jualan Rahmah susulan daripada kehadiran pengunjung yang ramai di setiap lokasi penganjuran program berkenaan.

“Inisiatif Jualan Rahmah ini bagus maka disebabkan itu kita tak mahu orang politikkannya malah dengan bantuan sukarelawan ini dapat membantu melancarkan penganjurannya,” katanya.

Mengulas mengenai Explorace Merdeka Madani, Fathul Bari berkata, pelaksanaan program itu adalah bagi menzahirkan semangat patriotik dalam kalangan peserta dengan membabitkan sesi kuiz dan mengibarkan bendera di kawasan masjid.

FATHUL Bari Mat Jahya (tiga dari kanan) membuat pelepasan peserta program Explorace Merdeka Madani di Taman Sakura, Kangar, Perlis. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD

Tambahnya, menerusi program itu juga, peserta turut diselitkan dengan inisiatif khidmat masyarakat di mana mereka telah menyerahkan sumbangan bakul makanan di 50 buah rumah golongan memerlukan sekitar kawasan Kangar.

“Kita bukan hanya explorace sahaja namun kita bawa peserta untuk turun dan membantu menyampaikan sumbangan kepada mereka memerlukan berdasarkan data daripada e-Kasih Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Selain itu, peserta juga dikehendaki memakai pakaian dengan bertemakan kemerdekaan bagi menyemarakkan sambutan berkenaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya