Himpunan Aman Selamatkan Malaysia: 10 individu diambil

Himpunan Aman Selamatkan Malaysia: 10 individu diambil keterangan

TUN FAISAL selepas memberi keterangan selama dua jam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sepuluh daripada 25 individu yang dikenal pasti polis terlibat dalam Himpunan Aman Selamatkan Malaysia di ibu negara, semalam selesai diambil keterangan di sini hari ini.

Antara yang hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira pukul 10.30 pagi tadi iaitu Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, Ketua Srikandi Muda Bersatu Malaysia, Nurul Fadzilah Kamaluddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr. Afif Bahardin.

Tun Faisal ketika ditemui sebaik selesai memberi keterangan berkata, beliau hadir ditemani tiga peguam bagi memberi keterangan selama dua jam berhubung penganjuran himpunan berkenaan.

Kata beliau, sepanjang proses berlangsung, tiga perkara ditanya dan dibangkitkan oleh pihak polis termasuk berhubung laporan yang dibuatnya pada Sabtu lalu.

“Bagi saya ini adalah proses biasa yang dilaksanakan oleh pihak polis walaupun bagi pandangan saya siasatan ini tiada asasnya.

“Ini kerana di dalam Akta Perhimpunan Aman 2012, membenarkan kita sebagai rakyat Malaysia menyuarakan pandangan dan juga berhimpun,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Tun Faisal, sepanjang tempoh memberi keterangan itu, pihaknya memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa.

“Masing-masing yang dipanggil diminta oleh pihak berkuasa hadir memberi keterangan ikut jadual. Kebetulan, masa saya lapang pagi ini, jadi saya hadir bersama lapan orang yang lain.

“Mereka yang dipanggil adalah semua termasuk penjual baju, penyewa kenderaan. Jadi, saya fikir dia pukul rata panggil semua,” jelasnya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengesahkan sebanyak 25 individu dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung Himpunan Aman Selamatkan Malaysia di ibu negara, kelmarin.

Kesemua mereka dipanggil untuk membantu siasatan selepas polis membuka satu kertas siasatan berkaitan perhimpunan itu.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 4 (2) (b) Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 4 (2) (e), (f) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Hasil pemerhatian, kira-kira 850 orang terdiri daripada ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli politik dan beberapa individu yang dikenal pasti dan sedang dikenal pasti menyertai perhimpunan itu.

Noor Dellhan berkata, kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN