PETALING JAYA: Pharmaniaga Bhd mencatat peningkatan keuntungan bersih sebanyak 6.4 peratus bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, didorong oleh peningkatan jumlah tempahan daripada hospital kerajaan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, keuntungan bersih syarikat meningkat kepada RM31.47 juta berbanding RM29.57 juta pada tempoh sama tahun lalu.
“Hasil pula meningkat 11.7 peratus kepada RM1.18 bilion daripada RM1.05 bilion, terutamanya disumbangkan oleh peningkatan tempahan bagi unit simpanan stok di bawah senarai pembelian produk diluluskan sepanjang suku berkenaan.
“Bahagian pembuatan merekodkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih tinggi sebanyak RM36.7 juta, berbanding RM32.3 juta dalam suku sama tahun lalu,” katanya.
Pharmaniaga turut mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 25 sen sesaham bagi suku berkenaan.
Kumpulan farmaseutikal itu berkata, segmen biofarmaseutikal terus menunjukkan momentum sebagai pemacu pertumbuhan utama kumpulan.
Katanya, bekalan insulin manusia yang dijangka bermula pada pertengahan 2026 merupakan pencapaian penting dan dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi masa depan.
“Selain itu, kumpulan memperoleh kelulusan saringan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi vaksin konjugat pneumokokal, menandakan kemajuan lanjut dalam memperluaskan portfolio vaksinnya,” katanya.
Dalam segmen logistik dan pengedaran, Pharmaniaga berkata pihaknya sedang memantau rapat tekanan kos yang berpunca daripada konflik di Asia Barat.
Kumpulan itu berkata, setakat ini, tiada gangguan langsung terhadap bekalan ubat-ubatan kepada sistem penjagaan kesihatan awam.
“Kedudukan inventori kumpulan kekal stabil, disokong oleh tahap stok penampan yang mencukupi untuk memenuhi permintaan semasa di hospital dan fasiliti penjagaan kesihatan di seluruh negara.
“Pharmaniaga kekal komited memastikan kecekapan dan kebolehpercayaan rantaian bekalannya melalui kerjasama rapat dengan kerajaan,” tambahnya. – UTUSAN









