Henti siasatan, pendakwaan terpilih isu 3R - Muhyiddin 

Henti siasatan, pendakwaan terpilih isu 3R – Muhyiddin 

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembangkang menggesa supaya menghentikan tindakan siasatan dan pendakwaan terpilih atas alasan menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) demi ‘menutup’ mulut rakyat. 

Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa, beliau telah disiasat beberapa kali oleh polis dan berdepan pendakwaan jenayah semata-mata  menyuarakan keresahan orang Melayu dan penganut agama Islam. 

Namun, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, pemimpin di pihak kerajaan yang mengeluarkan kenyataan  yang jelas memainkan sentimen perkauman namun langsung tidak disentuh walaupun ratusan laporan polis dibuat ke atas mereka. 

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan secara khusus berhubung pemimpin-pemimpin dalam kerajaan yang bertindak sedemikian. 

“Apakah saya sebagai pemimpin Melayu dianggap sebagai penjenayah semata-mata kerana menyuarakan kepentingan orang Melayu dan Islam? 

“Sejak bila pemimpin Melayu di negara ini sudah tidak boleh bercakap mengenai kepentingan Melayu dan Islam? Penjajah British telah lama meninggalkan tanah air kita. 

“Tetapi nampaknya dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Madani hari ini lebih teruk daripada dasar penjajah,” katanya semasa perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini. 

Selain Muhyiddin, pemimpin PN turut disiasat berkaitan isu 3R ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dipercayai mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor, pada 26 Ogos lalu.

Sebelum itu, Pengarah Pilihan Raya PN merangkap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor didakwa atas dua pertuduhan membuat kenyataan hasutan terhadap raja.

Semalam, Muhyiddin selesai memberi keterangan kepada  polis  bagi membantu siasatan berhubung ucapan beliau dipercayai menyentuh isu 3R ketika berkempen di PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 2 September lalu. 

Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 9 September lalu, Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dua kertas siasatan juga dibuka terhadap Muhyiddin susulan kenyataan ‘fatwa’ haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH) dan orang Melayu hilang kuasa.

Bagaimanapun, Muhyiddin menjelaskan bahawa kenyataan itu hanya kiasan dan bukan berniat sebagai fatwa atau hukum syarak. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya