KANGAR: Institusi Diraja Perlis terus menjadi tonggak kepada penyatuan rakyat negeri ini untuk hidup dalam suasana harmoni, aman dan stabil sejak sekian lama.
Sepanjang pemerintahan, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sentiasa memastikan perpaduan masyarakat di negeri ini kekal terjamin.
Pemimpin komuniti Siam Perlis, Pramoot Puan berkata, penduduk negeri ini yang terdiri daripada masyarakat Melayu, Cina, Siam dan India sentiasa mendapat perhatian baginda sebagai tonggak dalam memastikan keharmonian.
Kata Pengerusi Persatuan Kebajikan Siam Bersatu Perlis (Kesitus) itu, baginda sememangnya sangat mengutamakan hubungan antara istana bersama rakyat tanpa mengira latar belakang kaum mahu pun agama.
Beliau berkata, selain baginda, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail juga sentiasa mencemar duli turun ke bawah bagi bertemu rakyat secara terus antaranya menerusi program kayuhan berbasikal bagi mendekati dan menyelami permasalahan rakyat.
“Tuanku Raja Muda Perlis kerap mengadakan kayuhan bagi bertemu dengan komuniti Siam di samping menghulurkan sumbangan,” katanya.
Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tiong Hwa Perlis, Koay Chee Khoon berkata, Tuanku Syed Sirajuddin seorang pemerintah yang mudah didekati dan sering bersama-sama rakyat dalam pelbagai program.
Katanya, baginda juga amat menitik-beratkan aspek pembangunan ekonomi di Perlis agar tidak ketinggalan dan selari dengan negeri-negeri lain.
“Malah, dalam titah baginda baru-baru ini yang menzahirkan harapan Perlis berpotensi menjadi ‘Dubai kedua’ ia sangat penting untuk semua pihak berusaha mengembangkan pembangunan ekonomi Perlis,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Mohammad Faisol Abd Rahman pula berkata, Tuanku Syed Sirajuddin sangat mementingkan kebajikan rakyat khususnya mereka yang ditimpa bencana.
Katanya, baginda juga sentiasa memberi panduan buat rakyat negeri ini untuk menggunakan hasil terdapat di Perlis sebagai sumber pendapatan tambahan bagi meningkatkan ekonomi mereka.
“Sebagai contoh, baru-baru ini baginda memberi peringatan agar penduduk Perlis dapat mengambil kesempatan mengusahakan tanaman harumanis yang mendapat permintaan tinggi dari luar.
Ini menunjukkan betapa baginda cakna terhadap rakyat dan sentiasa memberi panduan kepada mereka bangkit tingkatkan ekonomi menerusi hasil tanaman Harumanis yang turut boleh diusahakan di sebelah rumah,” katanya. – UTUSAN










