Geotapak Perlis punyai nilai saintifik tinggi - Utusan Malaysia

Geotapak Perlis punyai nilai saintifik tinggi

PANEL penilai berkesempatan merakamkan gambar bersama rakan strategik dan komuniti selepas Majlis Penutup Sesi Penilaian Aspiring Perlis Geopark Ke Arah Penarafan Kebangsaan di Dewan Bankuet Kompleks Kerajaan Negeri, Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kebanyakan lokasi geotapak di Perlis dikenal pasti mempunyai nilai saintifik yang sangat tinggi dan boleh menjadi simbol kebanggaan rakyat negeri ini.

Ketua Penilai Perlis Geopark, Dr. Norbert Simon berkata, penglibatan komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO) yang bersemangat bagi bersama-sama membantu dalam mendapatkan pengiktirafan Geopark Kebangsaan ini juga dilihat sangat membanggakan.

Beliau berkata, keterlibatan pihak berkenaan sememangnya amat baik bertepatan dengan konsep geopark yang memerlukan penglibatan semua peringkat lapisan masyarakat.

“Sebagai pemerhati saya amat terharu dengan semangat kuat ditunjukkan oleh komuniti, NGO, kerajaan negeri dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) sepanjang penilaian empat hari di Perlis ini.

“Ini menjadi nilai tambah selain keunikan geotapak yang terdapat di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Sesi Penilaian Aspiring Perlis Geopark Ke Arah Penarafan Kebangsaan di Dewan Bankuet Kompleks Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Norbert berkata, hasil laporan penilaian yang dijalankan itu akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan selepas ini dan keputusan pengiktirafan berkenaan dijangka diketahui pada pertengahan bulan Oktober.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian, pihaknya tertarik dengan keunikan geotapak di Bukit Lagi dan Bukit Jernih yang mempunyai nilai saintifik sangat tinggi.

“Selain itu, geotapak di Bukit Ayer juga mempunyai keunikan air terjun batu kapur di mana ia merupakan batu jenis travertine,” katanya.

Tambahnya, sekiranya berjaya dalam penilaian ini, Perlis bakal menjadi negeri pertama di mana keseluruhan kawasannya diiktiraf sebagai geopark.

“Perlis mempunyai potensi tinggi untuk dimajukan dan terdapat banyak lokasi geotapak bernilai tinggi yang dapat menjadi bonus buat negeri ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya