KOTA KINABALU: Gempa bumi lemah berukuran 3.7 skala richter yang berlaku di Ranau pada pagi semalam boleh dianggap normal.
Ia kerana daerah Ranau antara lokasi yang kerap mengalami gempa bumi di Sabah, selain Lahad Datu.
Maka gegaran akibat gempa bumi lemah akan terus dirasai oleh penduduk di kedua-dua daerah ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Geologi Sabah, Prof Dr. Felix Tongkul berkata, gempa bumi berskala besar di Ranau dijangka berulang pada masa hadapan namun, tidak dapat dipastikan tempoh sebenar kejadian itu berlaku.

“Itu sebabnya penduduk sekitar Ranau dan Kundasang sentiasa diingatkan untuk bersedia dalam menghadapi kemungkinan berlaku gempa bumi berskala besar,” katanya di sini semalam.
Profesor Kehormat yang juga Felo Penyelidik Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu berkata, kejadian gempa-gempa kecil akan terus berlaku di Ranau.
Kali terakhir gempa bumi berskala besar berlaku di Ranau adalah pada 5 Jun 2015 yang berukuran 6.0 pada skala Richter.
Kejadian itu mengorbankan 18 nyawa pendaki termasuk empat malim gunung.
Sementara itu, penduduk di Kampung Desa Aman, Kundasang, Sofiana Waslin berkata, gegaran akibat gempa bumi lemah adalah perkara biasa bagi penduduk kampung di situ.
“Selepas gempa bumi berskala besar yang berlaku pada 2015, memang banyak kali sudah kami rasa gegaran susulan jadi, memang tiada perasaan takut atau cemas.
“Anak-anak pun sama, mereka tidak cemas setiap kali berlaku gegaran akibat gempa bumi lemah,” katanya.
Malah katanya, selepas kejadian gempa bumi kuat itu, pelajar sekolah sekitar Kundasang turut diberi latihan berhadapan dengan gempa bumi di sekolah.
Selain Ranau, gegaran kuat akibat gempa bumi turut berisiko tinggi berlaku di pantai timur Sabah, khususnya Lahad Datu dan Kunak, selain Kudat di utara Sabah dengan kekuatan boleh mencapai ukuran 6.5 pada skala Richter.
Pada Jun 2021, Timbalan Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Sabah, Dr. Chai Mui Fatt memaklumkan sebanyak 700 gempa bumi susulan direkodkan di Sabah sejak gempa bumi pada 2015. – UTUSAN
KEJADIAN GEMPA BUMI DI SABAH
1971
Gempa bumi berukuran 5.0 pada skala Richter melanda Ranau.
1976
Gempa bumi berukuran 5.8 pada skala Richter melanda Lahad Datu.
5 Jun 2015
Gempa bumi berukuran 6.0 pada skala Richter melanda Ranau. Kejadian ini mengorbankan 18 nyawa pendaki termasuk empat malim gunung.
5 Jun 2021
Jabatan Meteorologi Malaysia, Sabah melaporkan 700 gempa bumi susulan direkodkan di Sabah.
31 Ogos 2023
Gempa bumi lemah berukuran 3.8 skala richter melanda Ranau.
Sejak 2015 Sebanyak 28 stesen seismik dipasang seluruh Sabah bagi mengesan gegaran gempa bumi.










