Gambaran awal belum jawab punca nahas pesawat BeechCraft - Utusan Malaysia

Gambaran awal belum jawab punca nahas pesawat BeechCraft

SUSUNAN serpihan dalam laporan awal siasatan nahas pesawat ringan BeechCraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, 17 Ogos lalu – KEMENTERIAN PENGANGKUTAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Laporan awal siasatan nahas pesawat ringan BeechCraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, 17 Ogos lalu masih belum menjawab punca sebenar insiden itu yang meragut 10 nyawa.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penyelidik Penerbangan Mencari dan Menyelamat Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT), Prof. Madya Dr. Mohd. Harridon Mohamed Suffian berkata, laporan awal itu bagaimanapun sedikit sebanyak memberi sedikit pembayang punca nahas pesawat ringan itu.

Katanya, laporan itu masih bersifat komprehensif walaupun masih ada beberapa maklumat penting yang belum lengkap untuk merungkai punca nahas.

“Walaupun ada maklumat yang kita belum terima, tapi cukup untuk beri gambaran awal berkenaan insiden tersebut.

“Berdasarkan laporan yang dikeluarkan, kabel sistem kawalan pesawat mengalami tujahan yang berlebihan dan beberapa komponen sistem telah dihantar kepada Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) dan pengeluar peralatan asal (OEM) untuk disiasat.

“Antara analisis-analisis teknikal yang akan dibuat ialah Metallurgical Analysis dan Material Analysis yang akan meneliti corak leraian kabel tersebut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pada 17 Ogos lalu, negara dikejutkan dengan insiden pesawat ringan jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Sela­ngor dan mengorbankan 10 individu termasuk pemandu kereta dan penunggang motosikal.

Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun antara individu disahkan maut di samping dua juruterbang dan enam penum­pang dalam kejadian itu yang berlaku pada pukul 2.48 petang.

Dalam pada itu, bekas Penyi­asat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kapten Abdul Rahmat Omar berkata, adalah normal bagi laporan penuh mengambil masa yang lama untuk disiapkan.

Katanya, pada kebiasaannya laporan awal akan dibuat sebelum analisis akhir dilakukan untuk mengenal pasti punca kejadian.

“Pemeriksaan terperinci akan dilakukan pada setiap komponen yang disiasat, jadi mungkin memakan masa berminggu, berbulan mahupun bertahun,” katanya.

Berdasarkan nota laporan awal nahas pesawat itu yang didedahkan oleh Kementerian Pengangkutan, semalam, analisis awal rakaman kotak perakam suara kokpit (CVR) yang dipulih­kan telah memberikan petunjuk kritikal terhadap membongkar punca kemala­ngan de­ngan memfokus kepada sistem kawalan penerbangan pesawat.

Usaha untuk menganalisis bagi membongkar punca nahas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 di Elmina, Selangor akan memfokuskan kepada sistem kawalan penerba­ngan.
Laporan akhir termasuk faktor teknikal enjin pesawat akan dikeluarkan pada Ogos 2024.

Ia selaras dengan Annex 13 Majlis Pertubuhan Penerba­ngan Awam Antarabangsa (ICAO) yang memperuntukkan tempoh 12 bulan daripada hari kejadian kemalangan untuk melengkapkan dokumen tersebut.

JURUTERBANG SIHAT, CUKUP REHAT

Sementara itu, dua juruterbang pesawat dalam nahas tersebut tidak mempunyai masalah perubatan serius berdasarkan sejarah kesihatan dan pemeriksaan fizikal.

Dalam nahas itu, dua kru pesawat tersebut ialah juruterbang utama Shahrul Kamal Roslan, 41 dan juruterbang kedua, Heikal Aras Abdul Azim, 43.

Susulan itu, laporan awal yang dikeluarkan oleh Kementerian Pe­ngangkutan mendapati, faktor ke­sihatan dike­tepikan sebagai punca nahas itu berlaku memandangkan kedua-dua juruterbang itu juga mendapat rehat yang cukup sebelum pe­nerbangan.

Berdasarkan laporan awal nahas itu, sejarah dan pemeriksaan fizikal yang ada, kedua-dua juruterbang terbabit tidak mempunyai keadaan perubatan yang diketahui yang boleh me­nimbulkan bahaya besar kepada ke­selamatan penerba­ngan.

“PIC (juruterbang utama) berjaya memperoleh Sijil Per­ubatan Kelas Pertama daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dengan terhad iaitu mesti menggunakan kanta pembetulan untuk memenuhi piawaian penglihatan pada semua jarak yang diperlukan pada 24 Mac 2023.

“Beliau memegang Sijil Perubatan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) secara serentak sah dari 6 Di­sember 2022 hingga 31 Disember 2023 dengan had VDL (sah ha­nya de­ngan pembetulan untuk penglihatan jauh yang cacat).

“Semakan Sijil Perubatan dan sokongan dokumentasi menunjukkan PIC tidak melaporkan sebarang kebimbangan perubatan yang ketara dan menghadiri Pemeriksa Per­ubatan Ditetapkan (DME) untuk mengenal pasti tiada syarat penting pada pemeriksaan fizikal,” kata laporan itu.

Perkara sama juga membabitkan SIC (juruterbang kedua) yang berjaya memperoleh Sijil Perubatan Kelas Pertama daripada FAA pada 24 Julai 2023 dengan mempunyai had mesti menggunakan kanta pembetulan untuk memenuhi piawaian penglihatan.

Kata laporan itu, juruterbang kedua pada masa sama meme­gang Sijil Perubatan CAAM sah mulai 15 September 2022 hingga 30 September 2023 dengan had VDL sah hanya dengan pembetulan untuk penglihatan jauh yang cacat.

“Semakan Sijil Perubatan dan sokongan dokumentasi me­nunjukkan bahawa SIC tidak me­laporkan sebarang kebimbangan perubatan yang ketara dan menghadiri DME tidak mengenal pasti keadaan pen­ting pada pemeriksaan fizikal.

“Berdasarkan sejarah dan pemeriksaan fizikal yang ada, juruterbang ini tidak mempunyai perubatan yang diketahui kea­daan yang boleh menimbulkan bahaya besar kepada ke­selamatan penerbangan,” kata laporan itu.

‘PECUTAN 0.1-0.5 SAAT MENYEBABKAN PESAWAT TERUS BERKECAI’

Dalam laporan sama, pecutan jangka pendek dalam tempoh antara 0.1 dan 0.5 saat yang biasa dilihat dalam pelanggaran pada tahap kelajuan tinggi menyebabkan pesawat BeechCraft Premier 1 terus berkecai dan terbakar akibat kesan tenaga tinggi ketika terhempas.

Laporan awal oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BKSU) Kementerian Pengangkutan mendedahkan bahawa semua mangsa kemalangan tidak mungkin dapat diselamatkan disebabkan magnitud daya hentaman kuat dan kebakaran dahsyat susulan nahas itu.

Malah berdasarkan analisis visual dan pemerhatian tempat kejadian, hujung sayap kanan pesawat merupakan bahagian pertama menghentam bumi sebelum diikuti serta-merta dengan bahagian muncung hadapan pesawat itu pada kelajuan tinggi.

“Pecutan jangka pendek 0.1-0.5 saat yang biasa dilihat dalam pelanggaran pada kelajuan tinggi membawa kepada kematian penumpang pesawat.

“Impak sekuat ini, corak pe­langgaran dan magnitud yang melebihi had toleransi manusia menunjukkan bahawa ini bukan kemalangan yang boleh di­selamatkan,” menurut laporan itu.

Laporan mendedahkan pe­langgaran dahsyat pesawat ke darat di samping kewujudan bahan api di dalam tangki pesawat menyebabkan kebakaran yang dahsyat dan menyambar seluruh badan pesawat, penumpang pesawat serta pemandu sebuah kereta dan penunggang motosikal.

“Api menyambar seluruh badan pesawat, penumpang pesawat serta pemandu dan penunggang motosikal di darat. Beberapa mayat hangus teruk (pengesahan daripada laporan bedah siasat),” katanya.

Laporan awal juga menyatakan bahawa pesawat itu sudah menghubungi menara kawalan untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada pukul 2.47 petang.

“Seminit kemudian, pada pukul 2.48 petang, kebenaran untuk mendarat di landasan 15 diberikan dan dalam beberapa saat pesawat menerima maklum balas berkenaan.

“Selepas itu dilaporkan tiada transmisi radio kedengaran dari pesawat ber­kenaan,” katanya.

Berdasarkan laporan awal itu, data mendapati pada pukul 2.47 petang dengan ketinggian 2,600 kaki, pesawat itu berdepan pe­ngurangan kelajuan dan penurunan.

“Dalam tempoh dua minit ia­itu pada 2.49 petang, ketinggian 1,025 kaki, pesawat mula membelok ke kanan dan berterusan hingga berada pada ketinggian 550 kaki.

“Itu adalah penghantaran data terakhir direkodkan dan dilaporkan juga kelajuan tanah semasa pusingan kanan pesawat itu antara 146 dan 154 knot,” katanya.

‘SAYA TIDAK MAHU CARI SALAH SESIAPA’

Balu kepada salah seorang mangsa nahas, ingin memandang ke hadapan dan tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak berhubung tragedi itu selepas Kementerian Pengangkutan meng­umumkan laporan awal nahas pesawat itu.

Suhaila Akasah, 46, menjelaskan, beliau sudah menerima kejadian itu sebagai ketentuan takdir Ilahi dan mahu meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Saya ada menerima laporan awal kejadian itu (menerusi te­lefon bimbit) yang dihantar oleh beberapa orang, tetapi tidak baca lagi dan tidak bersedia untuk membacanya.

“Ketika menerimanya (laporan itu) tiba-tiba rasa macam menggigil dan jantung berdegup kencang, sama seperti situasi ketika mula-mula menerima berita nahas itu tempoh hari.

“Saya tidak mahu lagi menjadi seperti itu, jadi saya tidak mahu komen apa-apa atau mencari salah sesiapa, saya anggap kejadian itu takdir Allah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Suhaila adalah balu kepada Komander (B) Shaharudin Amir Omar, 49, salah seorang daripada 10 yang maut dalam nahas pesawat di Elmina, bulan lalu.

Suhaila bagaimanapun memaklumkan siasatan bagi menge­tahui punca nahas itu perlu dilakukan agar tidak mengulangi kemalangan sama pada masa akan datang.

Hanya beliau secara peribadi tidak mahu mempertikai atau menyalahkan mana-mana pihak berkaitan nahas itu yang boleh menyebabkan fikirannya berse­rabut.

“Jika boleh diketahui punca sebenar nahas itu eloklah sebagai pedoman pada masa depan. Tetapi bagi saya sendiri, saya mahu ‘move forward’ (bergerak ke depan, tidak mahu ingat balik kejadian itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN