Fasiliti kesihatan swasta dibenar ambil jururawat terlatih asing

Fasiliti kesihatan swasta dibenar ambil jururawat terlatih asing

BILANGAN jururawat terlatih warga asing di setiap fasiliti kesihatan swasta tidak boleh melebihi 40 peratus daripada jumlah jururawat di fasiliti tersebut. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Fasilti kesihatan swasta dibenarkan mengambil Jururawat Terlatih Warga Asing (JTWA) tanpa kelayakan pos basik tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, beberapa kriteria yang sedikit mengekang berkenaan pengambilan JTWA oleh pihak swasta seperti termaktub dalam Employment Criteria for Foreign Trained Nurses In Malaysia 2018 dikaji semula dan diberi kelonggaran bersyarat sementara.

Katanya, antara syarat itu ialah pengambilan JTWA sah bagi tempoh 12 bulan sahaja iaitu mulai 1 Oktober ini sehingga 30 September 2024 dan pelanjutan perkhidmatan dibenarkan selama 12 bulan mengikut kelulusan Perakuan Pengamalan Sementara (TPC) JTWA.

“Perkara ini akan dinilai semula berdasarkan keadaan dan keperluan semasa.

“Bilangan JTWA di setiap fasiliti kesihatan swasta tidak boleh melebihi 40 peratus daripada jumlah jururawat di fasiliti tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaliha berkata, JTWA juga disyaratkan menduduki ujian Malaysian Nursing Board Qualification Examination for Foreign Trained Nurses yang dikendalikan Lembaga Jururawat Malaysia.

Selain itu, katanya, pengambilan tenaga kerja asing ini hendaklah mematuhi terma dan syarat yang ditetapkan Kementerian Dalam Negeri, termasuk perincian gaji dan tempoh kontrak.

“Keputusan ini disambut baik oleh industri perubatan swasta kerana ia dapat membantu mengoptimumkan pengoperasian dan perkhidmatan mereka.

“Dengan ini, fasiliti kesihatan swasta juga akan lebih bersedia untuk menyokong KKM dalam usaha memenuhi keperluan kesihatan rakyat melalui jalinan kerjasama awam-swasta sekali gus memberi kesan positif terhadap pelbagai sektor seperti industri pelancongan kesihatan, dan seterusnya merangsangkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Pada masa sama, Zaliha berkata, KKM akan melaksanakan pengambilan tetap graduan Diploma Kejururawatan dari Institut Pengajian Tinggi Awam dan Institut Pengajian Tinggi Swasta secara berfasa bagi tahun 2024 dan 2025.

Katanya, langkah ini demi mengisi keperluan jururawat di fasiliti KKM dan memastikan peluang pekerjaan jururawat tempatan terpelihara.

“KKM prihatin dan tetap memberi keutamaan kepada kebajikan dan prospek kerjaya jururawat tempatan yang sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada seluruh rakyat negara ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya